.jpg)
Saya berasa jijik melihat aksi terbaru Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos yang menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) baru dengan membawa replika Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ianya bersertakan kata-kata yang menyindir Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.
Tingkah-laku Jamal tersebut sungguh kurang ajar ibarat menabur garam ke atas luka Wan Azizah dan keluarga.
Anwar jelas merupakan seorang tahanan politik yang dipenjarakan rejim Barisan Nasional (BN) atas kepentingan politik.
Jamal sepatutnya turut berasa malu sebagai pemimpin Umno dan bukan sebaliknya cuba mempergunakan isu ini.
Terkenal seorang yang ghairah dengan gimik politik demi mendapat perhatian orang ramai tanpa mengambil kira soal prinsip, rekod silam Jamal juga menggambarkan beliau seorang yang cetek pemikiran politik dan hanya bertindak sebagai budak suruhan pemimpin atasan Umno.
Saya ingin bertanya, adakah aksi Jamal ini menunjukkan keinginan beliau untuk mencabar kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno?
Jika dia betul-betul berniat untuk berebut jawatan berkenaan, saya nasihatkan Jamal supaya turun gelanggang untuk berhadapan secara terus dengan penyandang jawatan tersebut, bukan sebaliknya mencari publisiti murahan.
Projek MRT yang dilancarkan baru-baru ini dipolitikkan pemimpin BN.
Bermula dengan Perdana Menteri Najib Razak mendakwa kononnya projek itu merupakan hadiah kepada rakyat, kini Jamal pula yang cuba mempolitikkan projek MRT.
Saya ingin menegaskan penyediaan sistem pengangkutan awam yang sempurna merupakan tanggungjawab kerajaan. Malah, projek MRT sepatutnya dilaksanakan pada awal 2004 seperti yang dijanjikan perdana menteri ketika itu iaitu Abdullah Ahmad Badawi ekoran kenaikan harga minyak yang mendadak.
Maka usah lagi pemimpin Umno terus cuba mendapatkan kepentingan politik daripada projek MRT ini kerana rakyat tidak bodoh dan tidak akan termakan dengan propoganda seperti itu. – 21 Julai, 2017.
* Tan Kar Hing ialah Naib Ketua AMK dan Adun Simpang Pulai.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen