Budaya 'jaga air muka' akan bawa rakyat Malaysia ke arah konservatisme


Low Han Shaun

Dr Asma Abdullah dari kumpulan G25 berkata masyarakat yang masih dengan budaya ini tidak akan lari daripada konservatisme. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Julai, 2018

BUDAYA ‘jaga air muka’ rakyat Malaysia, atau jaga kehormatan seseorang, menjadi penghalang kepada liberalisasi kerana ia menyebabkan masyarakat takut untuk membincangkan perkara yang dilarang, kata penyelidik dan ahli panel dalam sebuah forum hari ini. 

Dr Asma Abdullah dari kumpulan G25 berkata, masyarakat yang mempunyai “budaya takut malu” seperti Malaysia tidak akan berubah daripada konservatif. 

“Kerana masyarakat kita kolektif dan berhierarki, kita juga ada budaya ‘takut malu’,” katanya pada forum Liberalisme di Malaysia 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Froum itu menyaksikan ahli panel mengulas mengenai keputusan kaji selidik oleh Merdeka Centre berkenaan pendapat mengenai liberalisme dalam politik, sosial dan ekonomi di Malaysia. 

Dr Asma berkata, budaya ini menjadikan mustahil untuk rakyat Malaysia menyuarakan pendapat dan idea mereka dan idea yang bertentangan dengan pandangan majoriti.

“Jadi saya boleh nyatakan pandangan saya pada kertas tetapi saya tidak boleh nyatakan secara umum kerana saya takut dilabel sebagai fanatik,” katanya mengenai kebimbangan yang ada pada kebanyakan rakyat Malaysia. 

“Dalam konteks ini, bagaimana kamu tangani liberalisme? Kerana kamu sentiasa tidak dapat menyatakan sepenuhnya pandangan kamu sekiranya ketua kamu tidak bersetuju dengan pandangan kamu. 

“Menjadi terlalu terbuka akan ada kesannya, kerana keseluruhan masyarakat tidak seperti itu,” katanya. 

Barisan ahli panel yang mengulas mengenai isu liebralisme pada satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Julai, 2018

Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata pertamanya rakyat Malaysia perlu menerima “liberalisme adalah penting bukan untuk keharmonian individu, tetapi untuk keharmonian kolektif. 

Menurutnya, beliau percaya majoriti rakyat Malaysia bukan konservatif, tetapi hanya kekurangan ruang untuk membincangkan isu yang terlarang sebelum ini seperti seksualiti dan sebarang bentuk kebebasan individu yang lain. 

“Majoriti sebenarnya bukan konservatif, tetapi bagaimana kita membentuk minoriti yang tidak perlu takut membangkitkan perkara ini ketika di tempat umum,” katanya merujuk kepada mereka yang hadir pada forum berkenaan.

Katanya, peletakan jawatan Numan Afifi daripada jawatannya sebagai pegawai media kepada menteri belia dan sukan merupakan contoh klasik bagaimana komuniti LGBT berdepan dengan masyarakat konservatif. 

“Ambil contoh Numan; beliau tidak akan ‘homoseksualkan’ menteri keseluruhan kementerian kerana beliau di sana untuk menjalankan tugas dan bukan sebagai aktivis. 

“Tetapi kerana maasyarakat kita dan sistem politik terlalu ‘yang menang ambil semua’, membuatkan kita sentiasa takut dan semua orang juga sama,” katanya. 

Shahrul Aman dari Bersih 2.0 berkata, segmen masyarakat tertentu perlu cuba hapuskan budaya ini sekiranya mereka mahu mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif. 

“Ada segelintir yang menyokong budaya pengawalseliaan; sesetengah kaum atau etnik terikat dengan ini,” katanya. 

“Seperti Dasar Ekonomi Baru atau Islam yang dikawal selia, seperti khutbah Jumaat yang dikawal…dan subsidi, kesemua ini budaya pengawalseliaan.” 

Katanya, budaya yang sama ini menghalang kemajuan liberalisme, kerana mereka yang berlainan pendapat dan pandangan daripada norma akan sentiasa tidak diterima. 

Kaji selidik Merdeka Centre dijalankan ke atas 1,206 pengundi berusia 21 tahun ke atas melalui telefon di seluruh negara bermula 26 November hingga 4 Disember, 2017. 

Kaji selidik itu memberikan 11 soalan yang menilai persepsi dan pemahaman rakyat Malaysia mengenai liberalisme tanpa membandingkan dengan definisi umum liberalisme. – 28 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen