PEMIMPIN Gerindra, Prabowo Subianto sedia memberi laluan pemimpin lain untuk maju sebagai calon presiden Indonesia, sekiranya ada, walaupun namanya antara yang disebut-sebut bakal mencuba nasib sekali lagi bertanding dalam pilihan raya presiden Indonesia tahun depan, lapor media di republik itu.
Prabowo, yang juga bekas pemimpin kanan tentera, kalah kepada Joko Widodo dalam pilihan raya presiden 2014.
Katanya, beliau sudah siap untuk memenuhi harapan rakyat Indonesia untuk membawa perubahan terutamanya dalam soal ekonomi dan keadilan sosial, tetapi sedia juga untuk berundur sekiranya ada calon lain yang lebih.
“Saya siap menjadi alat perubahan. Saya siap menjadi alat umat dan rakyat Indonesia,” kata Prabowo dalam ucapannya membuka perhimpunan tiga hari ulama Indonesia di Jakarta, semalam, lapor Tempo.
“Tapi kalau saya tidak dibutuhkan dan ada orang lain yang lebih baik, saya siap mendukung kepentingan umat dan rakyat Indonesia.”
Perhimpunan Gerakan Nasional Pengawal Fatwa sehingga Ahad membincangkan isu-isu ekonomi, Islam dan politik. Ia dijangka akan mengeluarkan satu kenyataan media esok, termasuk mengumumkan dukungan kepada calon presiden dan naib presiden dalam pemilihan 2019.
Pembukaan perhimpunan semalam dihadiri beberapa pemimpin kanan politik termasuk pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Sohibul Iman dan pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), Zulkifli Hasan dan pengerusi Parti Bulan Bintang, Yusril Ihza Mahendra.
Hutomo Mandala Putra, anak bekas presiden Suharto, yang baru-baru ini menubuhkan parti Berkarya juga hadir.
Pemimpin Front Pembela Islam, Rizieq Shihab yang melarikan diri ke Arab Saudi turut menyampaikan pidato melalui rakaman. Dalam ucapannya beliau menggesa rakyat Indonesia bersatu dan mendukung parti yang menolak pemilihan semula Presiden Joko Widodo.
Rizieq dan aktivis yang menggerakkan perhimpunan ini dikenali sebagai antara pengkritik utama Jokowi.– 28 Julai, 2018.
Komen