.jpg)
SAYA punya pendirian sendiri mengenai ‘pengiktirafan UEC’ yang tidak semestinya selari dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Saya kira saya berjaya melihat isu ini dengan kepala dingin dan menilai dari setiap sudut serta hujah tanpa emosi atau melihatnya sebagai ‘ancaman kepada orang Melayu’ sepertimana diratibkan oleh sesetengah pihak.
Akan tetapi yang menjadi mauduk tulisan saya ini ialah tentang hipokrasi politik (sebahagian) pemimpin Umno yang sekaligus sangat berkaitan cara fikir ahli dan pemimpin Umno peringkat pertengahan (bahagian) dan ahli biasa.
Isu UEC telah dimainkan sebegitu rupa bersifat perkauman yang penuh dengan emosi. Para hulubalang Umno tiba-tiba mendidih darah Melayu mereka seolah-olah hari esok bangsa Melayu ini akan hilang di dunia.
Maka bertebaran bermacam mesej rasis dan ucapan-ucapan di kedai kopi tentang peri pentingnya mempertahankan Melayu ‘kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu iktiraf UEC yang merupakan ancaman kepada Melayu dan mencabar orang Melayu serta pelbagai lagi.
Saya mendengar hujah ini dan saya membaca tulisan-tulisan dan pandangan (tentunya kebanyakannya di ‘copy & paste’) dalam berapa grup Whatsapps (WA).
Saya menyebut hipokrasi politik kerana mereka (dengan sengaja) lupa bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) melalui presiden Umno dan pengerusi BN ketika itu turut bersetuju untuk mengiktiraf UEC!
Apakah ada tentangan daripada pemimpin dan ahli Umno waima Rais Yatim atau Zaman Khan pada waktu itu?
Saya tidak jumpa sebarang kenyataan mereka daripada hasil pencarian melalui Google sepertimana saya tidak berjumpa bangkangan pemimpin Umno di semua peringkat yang sekadar diam membisu.
Jika keadaan sebaliknya, katakanlah BN kembali berkuasa dan katakanlah Najib Razak selaku perdana menteri memberikan pengiktirafan UEC ini, apakah para hulubalang Umno dan NGO Melayu ini akan menentang, akan membuat unjuk rasa, akan menyebarluaskan segala macam mesej mengecam orang Tionghua, merasakan diri mereka terancam dan kerajaan yang dikuasai oleh Cina (dalam konteks BN, barangkali MCA?).
Saya penuh keyakinan, memahami jalur fikir mereka, memahami jiwa mereka tidak akan ada protes mahupun hujah-hujah perkauman atau merasakan kepentingan Melayu terancam, malah sebaliknya saya yakin segala puji-pujian akan dihamburkan kepada perdana menteri dan pemimpin mereka yang tentunya bersulam segala gelar-gelaran yang hebat dibumbui pantun yang memuja-muja.
Kepada yang masih teraba-teraba dalam cerah sinar matahari, Umno dan BN juga mahu mengiktiraf UEC sepertimana terkandung dalam manifesto mereka!
Malah perdana menteri ketika itu yang juga presiden Umno turut menyatakan pembinaan kolej atau universiti dari Republik Rakyat China di Malaysia serta beberapa pusat pengajian tinggi yang lain. Apakah pusat pengajian tinggi ini menepati kehendak sistem pendidikan kebangsaan? Bagaimana dengan bahasa pengantarnya?
Sekali lagi para hulubalang Umno dihinggapi oleh sindrom “setan bisu”, diam seribu bahasa, lidah (disengajakan) kelu untuk berbicara.
Untuk menonton klip video ucapan Najib,ketika itu presiden Umno boleh rujuk di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=huHzAQGI80A
Sebab itu saya tidak yakin segala keluh kesah kononnya ketakutan dan kononnya demi survival bangsa Melayu (yang setelah lebih 60 tahun di bawah Umno sedangkan di bawah PH belum sampai 100 hari) adalah tulen!
Malah saya berpandangan segala sentimen yang dimainkan tidak lebih dari perencanaan untuk mengolah pemikiran dan emosi khususnya orang Melayu yang sangat bersifat perkauman.
Tiba-tiba mereka menjadi Melayu yang dikelabui dengan sifat perkauman berlebih-lebihan sedangkan segala yang telah, pernah dan akan dibuat oleh Umno (dalam konteks tulisan ini, pengiktirafan UEC sepertimana terkandung dalam manifesto BN) tidak pula dilihat sebagai ‘mengancam kepentingan Melayu’.
Inilah hipokrasi politik Umno yang saya cukup bimbang menyemarakkan pula api perkauman (saya ulang, disengajakan) bagi kepentingan politik mereka serta barangkali bertujuan ‘menggoncang’ kerajaan PH. Ingat juga ucapan Annuar Musa di Parlimen 4-5 hari lalu.
Isu Melayu kepada mereka hanya perlu dimainkan atau istilah lain, diapi-apikan setelah mereka terdesak, kalah dalam PRU14 sedangkan selama ini, isu yang sama, UEC, juga diiktiraf oleh mereka sendiri, tidak pula mereka berasakan kepentingan bangsa Melayu terancam!
Teman saya, anak muda bertanya kenapakah apabila mereka (Umno dan BN) buat tidak dianggap perkauman atau memprejudiskan Melayu tetapi apabila PH mahu buat benda yang sama, dianggap pro-Cina dan DAP serta menggugat kepentingan Melayu?
Jawaban saya ialah Umno sudah tidak punya hujah selain mereka memainkan isu bersifat perkauman kerana (sambil ketawa) para pemimpin mereka barangkali punya stamina fizikal tetapi stamina intelektual menjadi tanda tanya. Jadi jalan paling mudah ialah semai api perkauman.
Saya juga merasakan mana-mana pemimpin yang berdiam diri tatkala ahli partinya memainkan sentimen perkauman atau lebih teruk, dia sendiri menggalakkan secara langsung atau sebaliknya, pemimpin itu juga turut terpalit dengan rasisme ini.
Anda boleh tidak bersetuju dengan saya, akan tetapi sudah sampai saat dan ketikanya kita perlu melihat kepentingan nasional lebih dari kepentingan sempit perkauman sambil kita pertahankan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam nafas yang sama, kepada para pemimpin Umno di semua peringkat, tanggalkan topeng hipokrasi politik anda. Mari berlaku jujur, hentikanlah bermain isu rasis ini.
Ayuh, kita menyumbang untuk tanah air kita ini.
*Ahmad Nizam Abd Hamid adalah timbalan pengerusi PKR Pahang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen