Puigdemont kembali ke Belgium


Presiden Catalonia yang dipecat, Carles Puigdemont, kembali semula ke Belgium pada Sabtu bagi mendesak kemerdekaan rantaunya selepas seorang hakim di Sepanyol membatalkan waran tangkap Eropah terhadapnya. – Gambar EPA, 28 Julai, 2018.

PRESIDEN Catalonia yang dipecat, Carles Puigdemont, kembali semula ke Belgium pada Sabtu bagi mendesak kemerdekaan rantaunya selepas seorang hakim di Sepanyol membatalkan waran tangkap Eropah terhadapnya.

“Kegiatan politik saya akan berpengkalan di Belgium, sudah tentu dengan sasaran untuk mencapai mandat yang diberi oleh rakyat iaitu kemerdekaan Catalonia,” kata Puigdemont di Berlin ketika mengumumkan kepulangannya minggu ini.

Empat bulan selepas ditahan di Jerman atas permintaan Madrid, Puigdemont kini boleh pulang ke Belgium kerana bebas daripada risiko ekstradisi Sepanyol selepas mahkamah Sepanyol membatalkan waran tersebut.

Selepas dipecat sebagai presiden Catalonia susulan kegagalan tuntutan kemerdekaan pada 27 Oktober lalu, Puigdemont bersama beberapa ahli eksekutifnya melarikan diri ke Brussles .

Beliau kemudiannya ditahan di Jerman pada akhir Mac selepas pulang dari lawatan ke Finland.

Puigdemont dibebaskan dengan ikat jamin 10 hari selepas itu dan menunggu keputusan mahkamah Jerman berkenaan permohonan ekstradisinya yang dipohon oleh Sepanyol atas peranannya dalam desakan kemerdekaan itu.

Namun, mahkamah Jerman memutuskan Puigdemont hanya boleh diekstradisi atas dakwaan rasuah, bukan hanya kerana “pemberontakan” seperti yang dipohon oleh Madrid tetapi juga ia tidak diiktiraf oleh undang-undang Jerman.

Susulan keputusan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Sepanyol, Pablo Llarena yang bertanggungjawab terhadap kes itu membatalkan waran tangkapan antarabangsa tersebut. – AFP, 28 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen