PAS tidak akan membiarkan calon Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis hujung minggu depan, kata Ketua Penerangan parti Islam itu, Nasruddin Hassan.
Tegas Nasruddin, PAS akan berkempen supaya pengundi menolak calon parti kerajaan, Mohd Zawawi Ahmad Muhgni dan juga manifesto PH.
“Kalau PH menang ia beri isyarat umum apa yang dijanji mereka hendak hapuskan tol, rakyat boleh terima dengan baik (jika tidak dilaksana). Kalau PH menang di Sungai Kandis (maknanya) rakyat boleh menerimanya.
“Sikap kita supaya PH kalah dalam PRK Sungai Kandis… Kalau kita berkecuali sahlah dia menang,” katanya lagi dalam ucapan kepada kira-kira 1,000 peserta Himpunan Kebangkitan Ummah di Padang Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pilihan raya kecil 4 Ogos ini, Mohd Zawawi menentang calon Barisan Nasional (BN), Lokman Noor Adam yang turut hadir dalam rapat umum anjuran pertubuhan Melayu dan Islam yang pro-BN.
Perhimpunan yang bermula pukul 9 pagi itu juga disertai Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Mohd Dusuki, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, dan bekas penasihat dalam pentadbiran BN yang lalu, Rais Yatim.
Beberapa hari sebelum PRU14, Rais menyatakan sokongan terbuka kepada PH dan kemudiannya menyertai Bersatu selepas BN kalah pilihan raya umum bersejarah itu.
Selain isu Bahasa Melayu dan ketuanan Melayu, penceramah yang mewakil pelbagai badan masyarakat itu itu turut membangkitkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC serta lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), dan pendidikan kebangsaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam ucapannya membayangkan sekiranya keresahan rakyat ketika pentadbiran kerajaan memasuki tempoh 100 hari masih gagal diredakan, usia kerajaan PH tidak akan lama.
“Dalam tempoh 100 hari usia kerajaan PH kita lihat betapa igauan, keresahan dan tidak menentu dalam masyarakat kita, menjelang akhirnya usia 100 hari kerajaan PH kita melihat era kesedaran masyarakat.
“Kita harap kerajaan PH menjadi kerajaan paling singkat usianya. Kita akan bergerak ke arah itu. Rakyat boleh menaikkan kerajaan, rakyat juga boleh menurunkan kerajaan,” katanya.
Takiyuddin berkata, beliau juga kecewa dengan sikap segelintir ahli-ahli Parlimen kerajaan hari ini yang secara terbuka didakwanya mencabar kedaulatan raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.
“Beberapa kenyataan tidak bertanggungjawab pemimpin sebelah sana yang mencabar kedaulatan raja Melayu, tanah ini dikatakan bukan lagi Tanah Melayu tapi Tanah Malaysia. Ini disebutkan dalam Parlimen. Bahasa Melayu juga tidak lagi diberikan tempat sewajarnya,” katanya lagi.– 28 Julai, 2018.
Komen