Bekas menteri beri amaran, UEC bukan hal remeh


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri Rais Yatim muncul sebagai antara jurucakap utama dalam perhimpunan disertai kira-kira 1,000 orang melibatkan NGO dan parti pembangkang di Kuala Lumpur pagi ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Julai, 2018.

BEKAS menteri Rais Yatim muncul sebagai antara jurucakap utama dalam perhimpunan disertai kira-kira 1,000 orang melibatkan NGO dan parti pembangkang di Kuala Lumpur pagi ini.

Dalam ucapannya beliau memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendengar hasrat golongan majoriti dalam memutuskan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau yang menyokong PH dalam pilihan raya umum 9 Mei berkata, ia tidak boleh dianggap sebagai isu remeh kerana melibatkan isu pembinaan bangsa dan negara.

Katanya ia tidak harus diutamakan berbanding janji lain PH dalam manifestonya – menurunkan harga bahan api, harga barang dan memansuhkan tol.

“UEC ini soal anugerah kedaulatan, ini soal bahasa bangsa, kenegaran dan negara bangsa, ini bukan remeh bukan kecil. 

“Suara majoriti kata apa, tak mahu. Kaji dulu, harus kita halusi dulu sebelum UEC jadi manifesto. UEC ini letaknya dalam janji nombor 50,” katanya dalam ucapan di perhimpunan disertai 1,000 penyokong di Kuala Lumpur pagi ini.

Rais turut mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai Wawasan 2020 yang turut menggariskan agar bahasa Melayu dimartabatkan.

“Dr Mahathir mesti masih ingat berkenaan Wawasan 2020, salah satunya mewujudkan pendidikan dan ilmu yang membawa kepada masyarakat yang kasih dan sayang antara satu sama lain.

“Isu UEC ini akan jadi redahan tiada hentinya,” katanya lagi yang menambah tuntutan berhubung isu tersebut bukanlah isu kaum.

“Jangan gementar Dr Mahathir, kita mesti bersama-sama dengan adil, yang salah tetap salah, yang menjamin masa depan tetap menjamin,” katanya lagi.

Rais yang merupakan bekas penasihat sosio budaya kerajaan mengumumkan keluar Umno dan menyertai Bersatu sebelum pilihan raya umum 9 Mei.

Himpunan anjuran gabungan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Melayu dan Islam itu turut dihadiri pimpinan politik dari PAS dan Umno. – 28 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen