ISRAEL akan membina ratusan rumah baru di Tebing Barat, di mana seorang rakyat Palestin menikam tiga rakyat Israel, menyebabkan seorang terbunuh, kata Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman pada Jumaat.
Pengumuman itu dibuat selepas dua rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak ditembak di bahagian kepala oleh tentera Israel dalam insiden berasingan di selatan Sempadan Gaza, kata Kementerian Kesihatan Hamas kawasan tersebut.
“Jawapan terbaik kepada keganasan adalah memperluaskan penempatan,” tulis Lieberman di Twitter, sambil mengumumkan 400 unit rumah baru akan dibina di penempatan Adam utara Jerusalem, sehari selepas kejadian pembunuhan tersebut.
Israel menolak pandangan ramai bahawa perluasan penempatan haram itu merupakan suatu halangan terbesar kepada perdamaian dengan rakyat Palestin.
Remaja tersebut menyusup masuk ke penempatan Adam yang menempatkan orang Yahudi pada Khamis dengan memanjat pagar, lapor media Israel.
Dia menikam tiga orang secara rawak sebelum ditembak mati, kata tentera.
Media rasmi Palestin mengenal pasti penyerang itu sebagai Mohammed Dar Youssef, 17, dari perkampungan Kobar.
Tentera menyerbu perkampungan itu pada Jumaat, menyoal siasat ahli keluarganya dan menggantung permit kerja mereka.
Semasa serbuan pada pagi Jumaat itu, pertempuran berlaku antara anak muda Palestin dan tentera yang melemparkan gas pemedih mata.– AFP, 28 Julai, 2018.
Komen