Chairil Anwar, Tuhan manusia dan manusia tuhan


Radzi Razak

Kuseru saja Dia
Sehingga datang juga

Kami pun bermuka-muka.

Seterusnya Ia bernyala-nyala dalam dada.
Segala daya memadamkannya

Bersimpah peluh diri tak bisa diperkuda.

Ini ruang
Gelanggang kami berperang

Binasa-membinasa
Satu menista lain gila.

29 Mei 1943 - Jakarta


PUISI “Di Mesjid” karya Chairil Anwar ini dianggap antara sedikit karyanya yang agamawi malah paling beragama oleh beliau yang terkenal sebagai sang pemberontak abadi.

Chairil, penyair agung nusantara yang menulis pada dekad penjajahan Jepun ke atas Indonesia, sepatutnya berusia 96 tahun minggu ini. 

Anak kelahiran Medan ini sentiasa dilihat dan dikenang sebagai sosok amat berbeza jika dibandingkan dengan penulis-penulis yang seangkatan dengannya, malah sehingga ke hari ini.

Chairil, yang berhijrah ke kota Batavia (sekarang Jakarta) ketika zaman remaja selepas perceraian orang tuanya diingati sebagai pemuda liar, tidak terurus, dan amat yakin dengan diri sendiri. Beliau juga dianggap pelik berbanding penulis lain pada dekad itu, yang kebanyakannya berpendidikan dan berjiwa aktivis ketika perjuangan kemerdekaan memuncak selepas Perang Dunia Kedua.

Puisi Chairil seperti “Aku”, “Kawanku dan Aku” serta “Pemberian Tahu” dan banyak lagi yang ditulis antaranya untuk menggambarkan rasa individual dan berontak yang tinggi, sehingga hari ini masih menggetarkan jiwa anak-anak muda yang kacau, 69 tahun selepas kematiannya pada 1949.

Bagaimanapun sehingga kini tetap ada pengulas atau pembaca, yang memanggil diri sebagai religius dan takut Tuhan, menganggap tulisan Chairil hanyalah repek seorang ateis dan tidak mampu menggembleng jiwa manusia yang memang memerlukan agama.

Sikap itu turut disuburkan dengan populariti novel Atheis oleh Achdiat Karta Miharja, wartawan Indonesia serta penulis seangkatan Chairil. Novel yang terbit pada 1949 itu menampilkan seorang watak bernama Anwar yang dikatakan dipadankan daripada personaliti penyair tersebut.

Teman Chairil, Naslah Djamin yang juga seorang penulis berkata watak Anwar, yang digambarkan sebagai seorang anarkis, nihilis, egois, chauvinis, kaki perempuan, pemberontak dan tidak sopan dalam novel tersebut dengan tepat menggambarkan penyair itu.

Novel berlatarbelakangkan dilema seorang penulis antara keagamaan dan idea perjuangan sosialisme itu diterima baik oleh khalayak sastera tetapi ditolak oleh tokoh agama, kiri, anarkis dan beberapa golongan lain yang menyatakan ia tidak menceritakan perjuangan mereka dengan tepat.

Dengan reputasi nihilis itu, Chairil diangkat sebagai idola oleh anak muda serata nusantara yang menyemat sajak beliau terutamanya “Aku” dengan teriakan keramatnya “Aku mahu hidup seribu tahun lagi.”

Chairil bagaimanapun bernasib baik kerana sejarah dan sikap rakyat Indonesia yang terbuka mengenal bakat dan mencintai bahasa sehingga kesemua 72 sajak beliau yang ditemui dan diterbitkan dianggap sebagai mutiara bahasa.

Situasi mungkin berubah sekiranya Chairil dikepung oleh masyarakat yang tidak mempunyai imaginasi dan hanya kenal dan membenarkan Tuhan itu dikenal daripada satu dimensi.

Tanpa kecintaan kepada sastera dan bahasa, mustahil interpretasi Tuhan daripada seseorang seperti Chairil boleh diterima dan diangkat sebagai sebuah karya oleh masyarakat yang lebih gemar menghukum berbanding menikmati karya sastera dan seni.

Keadaan geopolitik nusantara masa ini yang menekan sikap individualiti dan mementingkan mentaliti kawanan (herd mentality) menyebabkan ekspresi yang tidak selari dengan kefahaman kumpulannya sebagai suatu yang asing dan harus ditentang.

Bayangkan jika Chairil, anak muda rebel – yang dianggap mahu “bergaduh dengan Tuhan di masjid” yang hidupnya amat bohemia, diceritakan sebagai peminum arak, kerap hadir ke rumah-rumah merah dan kaki perempuan serta tak takutkan Tuhan –  muncul di negara kita ketika ini.

Bait sajak Sidang Ruh “...dan Tuhan sudah mati” oleh Kassim Ahmad yang ditulis pada 1960 pun sehingga hari ini masih jadi perdebatan oleh golongan yang mendakwa mempertahankan Tuhan sedaya upaya mereka.

Minggu ini, golongan yang hampir sama juga turut beramai-ramai mengecam hasil karya seorang kartunis muda kerana dianggap menghina agama, ulama dan pakaian sunnah.

Kartunis muda ini, Amin Landak turut “dihadiahkan” dengan gelaran macai dan kafir, dan didoakan masuk neraka oleh golongan yang pandai agama ini, hanya kerana hasil tangannya yang “mengusik” orang tertentu dalam PAS.

Amat menyedihkan apabila golongan seperti ini, yang menganggap mereka majoriti, cuba mengekang hasil karya sebegini yang menceritakan gerak getar secubit kehidupan.

Mengharamkan idea, dan pertukaran idea secara bebas merupakan salah satu jenayah intelektual yang menyebabkan kebencian berleluasa dan kesembapan budaya.

Iman manakah yang terlalu rapuh menyebabkan kita menjawat kerja Tuhan dan menghumban manusia lain ke neraka, sedangkan jelas dalam Kitab-Nya, Dia menyuruh kita bersuai kenal dan menyampaikan amanat-Nya dengan Ihsan.

Atau mungkin masih ramai yang mahu menjadi biri-biri yang ikut mengembek mengikut biri-biri lain dalam kawanan setiap kali hujan mula turun di padang ragut?

Mungkin itu yang dibayangkan oleh seorang Chairil, pemberontak atau rebel abadi ketika menulis baris “aku ini binatang jalang.” – 28 Julai, 2018.

* Wartawan bebas yang sentiasa cuba bebas. Aktivis Media Merdeka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen