Ku Li dilantik pengerusi jemaah penasihat Umno


Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah hari ini dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa baharu dikenali jemaah penasihat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Julai, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah hari ini dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa baharu dikenali jemaah penasihat.

Katanya ahli Parlimen Gua Musang itu juga diberi kuasa penuh untuk melantik dan menentukan keanggotaan jawatankuasa berkenaan.

“Majlis Tertinggi (MT) hari ini telah bersetuju menubuhkan jemaah penasihat yang dipengerusikan Tengku Razaleigh,” kata Ahmad Zahid dalam sidang media selepas mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li tewas kepada Ahmad Zahid dalam pemilihan presiden Umno Jun lalu.

Seorang lagi calon yang turut kecundang, bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga ditawarkan jawatan tetepi menolak kesemua tawaran tersebut.

Selain jemaah penasihat, MT juga bersetuju menubuhkan sembilan majlis bagi memperkasa dan menyemarakkan Umno.

Perubahan struktur dalam Umno itu turut melibatkan penubuhan lapan jawatankuasa menggantikan biro yang ada dalam pentadbiran parti. 

Umno juga mewujudkan 10 seketariat bagi menangani isu tertentu, selari dengan dasar parti tersebut yang kini menjadi pembangkang.

“Pendekatan Umno bukan lagi politik pembangunan dan perkhidmatan, kita sebagai teras pembangkang kita guna pendekatan kepada isu,” kata Ahmad Zahid.

Beliau turut mengumumkan Perhimpunan Agung Umno juga hanya akan berlangsung selama dua hari, berbanding seminggu seperti kebiasaannya.

Katanya persidangan sayap-sayap Pemuda, Puteri, dan Wanita Umno akan berlangsung ada 29 September manakala perhimpunan agung berlangsung pada 30 September.

Perhimpunan kali ini juga katanya hanya menyaksikan perbahasan usul ucapan dasar presiden oleh perwakilan.– 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen