Umno ambil ahli lebih muda jika usia 18 tahun layak mengundi


Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, had umur tersebut diturunkan daripada usia 18 tahun yang ditetapkan untuk menyertai parti itu pada waktu ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Julai, 2018.

UMNO akan membuka keahlian parti kepada remaja berusia 16 tahun sekiranya kerajaan membenarkan rakyat mendaftar sebagai pengundi pada umur 18 tahun.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, had umur tersebut akan diturunkan daripada usia 18 tahun yang ditetapkan untuk menyertai parti itu pada waktu ini.

“Untuk memenuhi hasrat akar umbi dan bagi menentukan perubahan harus dilakukan terhadap stuktur organisasi Umno untuk menurunkan had keahlian daripada 18 tahun kepada 16 tahun. 

“Ini mungkin bersesuaian dengan perubahan baru untuk penurunan had umur untuk mengundi,” katanya yang menambah, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi parti hari ini.

Langkah itu diputuskan susulan pengumuman kerajaan pada awal bulan ini bahawa kelayakan mengundi pada usia 18 tahun itu mungkin akan dilaksana semasa pilihan raya umum ke-15.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan bertemu Peguam Negara Tommy Thomas pada Selasa lalu untuk berbincang mengenai pindaan undang-undang bagi tujuan itu.

Dalam pengumuman hari ini Zahid, berkata Umno mengambil kira piawai kebangsaan dan juga antarabangsa yang menurutnya mengambil kira individu berumur 15 tahun sebagai golongan belia.

“Sebab kita harus bersiap sedia. Kita rasa umur belia di peringkat nasional dan antarabangsa adalah 15 tahun. Kita ambil setahun lewat daripada umur belia,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, parti Melayu itu juga akan melakukan pemutihan terhadap keahliannya.

Jelasnya ia bagi meningkatkan jumlah ahli yang bermutu dan bukan hanya menunjukkan anggota parti yang ramai.

“Kita akan lakukan pemutihan ahli dan  keluarkan ahli yang meninggal dunia dan meninggalkan Umno sendiri.

“Kita tak mahu jumlah akumulatif yang hanya memperlihatkan jumlah kuantitatif. Kita mahu jumlah ahli kualitatif,” tambahnya.

Susulan pilihan raya umum 9 Mei, ramai pemimpin dan ahli parti tersebut dilaporkan menyokong dan menyertai parti dalam gabungan Pakatan Harapan.– 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen