OPERASI menyelamat seorang bayi lelaki dirakam dalam video yang memaparkan bayi terbabit dibawa keluar oleh anggota pasukan penyelamat daripada banjir lumpur yang berpunca daripada runtuhan empangan di selatan Laos.
Rakaman sukarelawan dari Thailand menyelamatkan 14 mangsa, termasuk bayi terbabit dikongsikan secara meluas di media sosial pada Jumaat ketika bantuan kemanusiaan antarabangsa dikerahkan ke kawasan terlibat.
Sekumpulan penduduk yang terselamat terkandas akibat banjir ketika cuba menyelamatkan diri dengan memanjat bukit selepas empangan Xe-Namnoy pecah dan runtuh.
Runtuhan empangan itu juga menyebabkan beberapa buah perkampungan di kawasan berhampiran dihanyutkan air deras.
Pasukan penyelamat Thai, yang mengharungi air yang deras yang turut menghanyutkan sampah dan pokok sejauh beberapa kilometer, itu sebelum ini turut terbabit dalam operasi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap dalam gua di utara negara mereka.
Mereka tiba di Laos bagi membantu negara jiran itu, yang kekurangan peralatan menyelamat.
“Bayi lelaki berkenaan berusia 4 bulan. Bayi itu tidak demam tetapi hanya menangis, mungkin kerana kesejukan,” kata salah seroang anggota penyelamat itu, Kengkard Bongkawong kepada AFP.
“Bayi itu hanya menangis dan kelihatan takut. Sebenarnya semua mangsa masih takut dengan aliran deras air banjir.”
Video berkenaan ditonton oleh hampir setengah juta orang dalam masa hanya beberapa jam ia dimuat naik pada Jumaat.
Terdahulu minggu ini, pihak berkuasa mengesahkan sebanyak 27 mayat dikeluarkan dan 131 orang lagi dilaporkan masih hilang.
Namun pada Jumaat gabenor wilayah Attapeu, Leth Xiayaphone menurunkan angka kematian itu dan mengatakan sebahagian besar daripada angka kematian yang diberikan sebelum ini adalah “maklumat yang tidak dapat disahkan”. – AFP, 27 Julai, 2018.
Komen