24 burung merak mati selepas termakan tanaman disembur racun


Burung merak begitu dihargai di India kerana ia merupakan burung kebangsaan negara itu.– Gambar AFP, 27 Julai, 2018. 

PIHAK berkuasa di negeri Telangana, yang terletak di selatan India, pada Jumaat telah melaporkan kematian sejumlah 24 burung merak dalam tempoh 10 hari lepas, lapor agensi berita China Xinhua.

Burung merak begitu dihargai di India kerana ia merupakan burung kebangsaan negara itu. 

Pegawai perhutanan berkata kematian haiwan itu dilaporkan di daerah-daerah Jogulamba Gadwal dan Nagarkurnool yang mungkin disebabkan kerana termakan tanaman yang telah disembur racun perosak di kawasan ladang.

“Kesemua burung merak yang mati mungkin telah memakan tanaman yang telah disembur racun perosak oleh petani tempatan,” kata seorang pegawai perhutanan kepada media.

“Bangkai haiwan itu telah dihantar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. Kami akan menanti laporan bedah siasat sebelum membuat rumusan akhir,” katanya.

Bulan lepas, kira-kira 22 ekor burung merak mati di negeri Haryana di utara India susulan penularan virus Penyakit Newcastle yang menjejaskan sistem saraf dan pencernaan haiwan itu.– Bernama, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen