Senarai ahli Suruhanjaya Siasatan Rakhine diumum minggu depan


Masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Myanmar mencabuli hak asasi manusia terhadap minoriti Muslim di utara Rakhine, memaksa mereka lari ke negara jiran Bangladesh.– Gambar AFP, 27 Julai, 2018.

SENARAI nama ahli yang akan menyertai suruhanjaya bebas menyiasat isu pelanggaran hak asasi manusia di Rakhine, dijangka diumum Kerajaan Mynmar pada minggu depan, lapor akhbar Myanmar Times.

Perkara itu dimaklumkan oleh ahli jawatankuasa eksekutif Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP), U Maung Myint.

“Sekarang adalah masa yang sesuai. Saya fikir dalam waktu terdekat kenyataan mengenai perkara itu akan dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, ahli Parti Nasional Arakan U Phay Than pada Rabu berkata, suruhanjaya yang terdiri tiga ahli tersebut akan termasuk pakar asing. 

“Saya rasa senarai itu akan keluar dalam masa 10 hari atau lebih awal lagi,” katanya.

Pada 31 Mei, kerajaan mengumumkan rancangan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia oleh tentera Myanmar dan Tentera Pembebasan Arakan Rohingya di utara Rakhine tahun lepas.

Suruhanjaya tersebut akan mempunyai ahli seramai tiga orang dan dibantu pakar undang-undang tempatan serta antarabangsa. 

Pejabat Presiden memberikan bayangan kemungkinan panel itu akan terdiri dua warga tempatan bersama seorang rakyat asing.

Penubuhannya mendapat tentangan ahli parlimen dan pihak tentera kerana penglibatan orang asing dianggap sebagai campurtangan hal ehwal dalam negara. 

Menurut sumber terdekat, kerajaan berdepan kesukaran untuk membuat pemilihan kerana ada pihak yang dipilih menyertai suruhanjaya itu menarik diri. 

Masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Myanmar mencabuli hak asasi manusia terhadap minoriti Muslim di utara Rakhine, memaksa mereka lari ke negara jiran Bangladesh.

PBB menganggarkan lebih 700,000 pelarian dari utara Rakhine tinggal di kem-kem yang sempit di Bangladesh.– Bernama, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen