ISRAEL akan membina penempatan baharu di Tebing barat selepas tiga penduduknya diserang menyebabkan seorang maut, kata Menteri Pertahanan Avgdor Lieberman pada Jumaat.
“Jawapan terbaik untuk keganasan adalah penambahan penempatan,” kata Lieberman pada Twitter, mengumumkan 400 unit rumah baharu akan dibina di penempatan Adam di utara Baitulmaqdis sehari selepas insiden serangan itu.
Remaja yang melakukan serangan itu menyelinap masuk ke kawasan penempatan haram itu pada Khamis dan menikam tiga orang sebelum ditembak mati.
Tentera Israel menamakan lelaki yang mati itu sebagai Yotam Ovadia, 31.
Remaja yang melakukan serangan itu dikenal pasti oleh media Palestin sebagai Mohammed Dar Youssef, 17 dari perkampungan Kobar.
Pihak tentera zionis berkata, mereka melakukan serbuan ke perkampungan berkenaan pada Jumaat, menyoal beberapa ahli keluarganya dan menggantung permit kerja mereka.
Ketika serbuan itu dijalankan, berlaku pertempuran antara pemuda Palestin dan anggita tentera yang kemudiannya menembak gas pemedih mata, lapor wartawan AFP.
Agensi berita Palestin Wafa melaporkan, tiga orang ditahan dalam serbuan itu.
Serangan berkenaan berlaku selepas keadaan aman di Tebing Barat, walaupun keganasan masih tercetus antara tentera Israel dan penunjuk perasaan Palestin di Jalur Gaza yang mana sekurang-kurangnya 154 rakyat Palestin dibunuh tentera zionis sejak akhir Mac lalu.
Hamas dalam satu kenyataan memuji “operasi berani” di Tebing Barat itu tanpa mengaku bertanggungjawab terhadapnya.
“Tebing Barat sudah bersedia dan mampu membalas darah para syahid,” katanya.
Pembinaan penempatan Israel di Tebing Barat disifatkan sebagai penempatan haram oleh masyarakat antarabangsa.– AFP, 27 Julai, 2018.
Komen