SEJUMLAH kira-kira 50 orang aktivis NGO Melayu berhimpun di Masjid Negara hari ini bagi mempromosi demonstrasi lebih besar yang dijangka akan berlangsung esok di Kampung Baru.
Kalangan aktivis berkenaan menyebut, antara isu yang akan dibawa adalah bantahan ke atas golongan liberal yang didakwa menguasai kerajaan dan mengugat hak istimewa Melayu dan Islam.
Selain itu, perhimpunaan juga akan menjadi medan untuk menuntut undang-undang kontroversi Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) diluluskan, katanya.
Presiden Pertubuhan Kebajian Islamiah Bersatu (Perkib) Masrizi Sat mendakwa isu tersebut akan dibangkitkan memandangkan hak masyarakat Islam akan dihalang bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau mendakwa perkara itu akan berlaku kerana kerajaan melantik peguam negara dan ketua hakim negara daripada orang bukan Islam.
“Banyak perkara berkaitan Islam akan tersekat, RUU355 contohnya, masih belum berjaya walaupun Umno dan PAS cuba lakukannya dahulu.
“Pada kali ini kita tak nampak jalan kerana golongan anti-Islam ini majoriti di Parlimen,” katanya, Masrizi dalam ucapannya kepada peserta perhimpunan.
Cadangan tersebut pada awalnya dibentangkan oleh presiden PAS Abdul Hadi Awang melalui rang-undang persendirian di Dewan Rakyat dalam persidangan Parlimen ke-13.
Ia tidak diteruskan untuk dibahas dan diluluskan kerana mendapat tentangan parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional, walau mendapat sokongan oleh Umno.
Seorang lagi aktivis Wan Asshima Kamaruddin pula berkata mereka akan membawa bantahan ke atas golongan LGBT dalam perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman esok.

Pemimpin NGO AlifBaTa Srikandi Masyur itu mendakwa golongan LGBT mengancam kedudukan wanita tulen dan turut menjadi punca gejala rogol.
“Kami rasa kedudukan kami tergugat dengan transgender. Kita tak nak hak kami sebagai wanita tulen diganggu golongan transgender dan mak nyah ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, gejala rogol ke atas wanita berlaku akibat golongan lelaki tertarik kepada mak nyah yang kelihatan seperti wanita.
“Orang ingat dia perempuan bila dia pakai buah dada. Kita tidak pernah dengar lagi ada jenayah rogol dalam kalangan mak nyah. (Tapi) yang dirogol kami, golongan wanita tulen.
“Buah dada itu hak kami, isunya mereka menjadi-jadi sampai hendak berkahwin (dengan lelaki). Saya mahu LGBT dihapuskan serta merta, kita tidak mahu golongan ini,” katanya.
Selain itu, penganjur perrhimpunan esok juga dijangka akan membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Antara penganjurnya adalah NGO pro-Melayu Perkasa dan juga Ikatan Muslimin Malaysia.
Ini merupakan perhimpunan kedua yang bakal berlangsung selepas kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan akan mengiktiraf UEC sebagai kelulusan memasuki universiti awam.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 15 Julai lalu bagaimanapun mengumumkan pengiktirafan UEC masih dalam kajian.– 27 Julai, 2018.
Komen