Korea Utara pulangkan jenazah tentera AS


Sebaik saja pintu belakang pesawat dibuka, pengawal setiap seorang membawa kotak yang ditutup dengan bendera PBB berwarna biru dan putih. – Gambar AFP, 27 Julai, 2018.

PESAWAT tentera Amerika Syarikat (AS) membawa pulang lebih 50 jenazah anggota tentera negara itu dari Korea Utara hari ini, menyebabkan Presiden Donald Trump menyampaikan ucapan peribadi kepada pemimpin Kim Jong Un.

Kepulangan jenazah itu – pada hari ulang tahun ke-65 berakhirnya Perang Korea – menandakan sebahagian daripada persetujuan yang dicapai antara pemimpin AS dan Korea Utara pada pertemuan bersejarah mereka di Singapura bulan lalu, sudah terlaksana.

“Selepas beberapa tahun, ini akan menjadi saat terindah bagi ramai keluarga. Terima kasih Kim Jong Un,” kata Trump di Twitter.

White House berkata ia gembira dengan kepulangan jenazah itu dan “momentum untuk perubahan yang positif”.

“Tindakan hari ini mewakili langkah pertama yang penting untuk meneruskan semula penghantaran balik jenazah dari Korea Utara dan menyambung semula operasi di Korea Utara bagi mencari anggaran 5,300 rakyat Amerika yang belum pulang ke tanah air mereka,” katanya.

Selepas bertolak dari kota pelabuhan Korea Utara di Wonsan, pesawat kargo C-17 mendarat di pangkalan tentera udara AS Osan di Korea Selatan , di mana pegawai tentera mengadakan upacara kedudukan.

Pesawat yang membawa 55 set jenazah, diiringi oleh sekumpulan 10 pengawal kehormat yang membawa bendera AS dan Korea Utara.

Sebaik saja pintu belakang pesawat dibuka, pengawal setiap seorang membawa kotak yang ditutup dengan bendera PBB berwarna biru dan putih.

Mereka kemudian berjalan dengan perlahan menuju ke arah van, meletakkan kotak-kotak itu ke dalam kenderaan berkenaan dan melakukan tabik hormat, sebelum van bergerak meninggalkan lokasi.

Komander UNC dan Pasukan Tentera AS di Korea, Jeneral Vincent Brooks dalam satu kenyataan berkata ia misi yang berjaya.

“Sekarang kami akan bersiap sedia untuk memberi penghormatan kepada wira yang terkorban sebelum mereka dihantar pulang ke tanah air.”

Lebih 35,000 rakyat AS terkorban di Korea ketika perang itu, di mana sekitar 7,700 masih dianggap hilang, termasuk 5,300 di Korea Utara, kata Pentagon.

Antara 1990 dan 2005, sebanyak 229 set jenazah dari Korea Utara dipulangkan, tetapi operasi itu ditangguhkan susulan hubungan antara dua negara yang merosot kerana program senjata nuklear Pyongyang.

Jenazah yang dibawa pulang dari Osan pada hari ini dijangka dihantar ke pusat pengenalan forensik di Hawaii, sebelum diikuti dengan upacara penyerahan rasmi pada Rabu depan. – AFP, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen