Taufan Jongdari diramal badai Jepun pada Sabtu


TAUFAN kuat kini dalam perjalanan membadai bahagian barat Jepun yang sebelum ini dilanda banjir dan tanah runtuh dahsyat awal bulan ini, kata pegawai Jepun memberi amaran pada Jumaat.

Taufan Jongdari kini sedang berada pada kelajuan hampir 200 kilometer (125 batu) sejam, kata Agensi Meteorologi Jepun, dan media tempatan melaporkan ia akan melanda pulau utama negara itu pada malam Sabtu.

Pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat, tanah runtuh, angin kencang dan ombak tinggi, serta menggesa orang ramai mempertimbangkan pemindahan awal.

Pada Jumaat, ribut itu berada pada kira-kira 1,200 kilometer barat daya Tokyo, menuju ke Pulau Chichijima, tetapi ia dijangka menuju ke rantau barat Chugoku pada petang Sabtu.

Rantau ini dilanda awal bulan oleh hujan dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh yang mengorbankan kira-kira 220 nyawa.

Ia adalah bencana yang dikaitkan dengan cuaca paling buruk pernah berlaku di Jepun dalam beberapa dekad, dan ramai penduduk kawasan terjejas masih hidup di tempat perlindungan atau rumah yang rosak.

Ramai yang terperangkap dalam banjir selepas gagal berpindah walaupun menerima arahan berbuat demikian, dan para pegawai pada Jumaat menggesa orang ramai mengambil amaran pemindahan dengan serius.

“Sesetengah orang gagal berpindah selepas hujan lebat baru-baru ini, kerana percaya semuanya baik berlaka,” kata pegawai agensi cuaca kepada AFP.

Jepun kini berada dalam musim taufan, dan kerap dilanda ribut besar semasa musim panas dan luruh. – AFP, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen