AS diberi amaran jangan cuba mulakan perang dengan Iran


Komander IRGC Qasem Soleimani (tengah) berkata pasukannya mampu menghadapi peperangan dengan Amerika Syarikat dan mahu Presiden Donald Trump untuk berhenti mengancam Iran.. – Gambar AFP, 27 Julai, 2018.

PASUKAN Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) untuk tidak memulakan perang dengan Iran, kerana kesannya nanti amat sukar dikawal, lapor agensi berita Xinhua pada Khamis.

Agensi berita rasmi IRNA memetik Komander IRGC Qasem Soleimani sebagai berkata, pasukannya mampu menghadapi peperangan dengan AS dan mahu Presiden Donald Trump untuk berhenti mengancam Iran.

‘‘AS mengalami kekalahan memalukan walaupun memiliki lebih 100,000 pasukan tentera di rantau itu sejak dekad yang lalu,’’ katanya merujuk kepada kenderaan perisai dan helikopter yang banyak ditempatkan di Afghanistan.

Kenyataan Qasem dikeluarkan susulan twitter Trump yang mengancam Presiden Iran Hassan Rouhani.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Iran dan AS sering bertikam lidah, ketika Washington berikrar untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran selepas menarik diri dari perjanjian nuklear 2015 pada 8 Mei lalu. – Bernama, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen