Virus Ebola baharu ditemui di Sierra Leone


Wabak Ebola terburuk bermula pada Disember 2013 di selatan Guinea sebelum merebak ke dua negara jiran barat Afrika, Liberia dan Sierra Leone. – Gambar AFP, 27 Julai, 2018.

VIRUS Ebola baharu ditemui pada kelawar di Sierra Leone, dua tahun selepas berakhirnya wabak yang mengorbankan 11,000 nyawa di seluruh Afrika Barat, kata kerajaan pada Khamis.

Tidak diketahui sama ada spesies baharu virus Bombali itu - yang mana penyelidik dakwa boleh dipindahkan kepada manusia - boleh menjadi penyakit Ebola yang mengakibatkan kematian.

“Pada masa ini, belum diketahui jika virus Ebola Bombali disebarkan kepada manusia atau jika ia menyebabkan penyakit pada manusia tetapi ia berpotensi menjangkiti sel manusia,” kata Amara Jambai, pegawai kanan Kementerian Kesihatan kepada AFP .

“Ini pada peringkat awal penemuan,” tambah Jambai, menyeru orang ramai agar tetap bertenang sambil menunggu penyelidikan lanjut.

Jurucakap Kementerian Kesihatan dan seorang penyelidik yang melakukan penyelidikan mengesahkan penemuan tersebut kepada AFP.

Penyelidik yang menemui virus baru di wilayah utara itu Bombali kini bekerja dengan kerajaan Sierra Leone untuk menentukan sama ada terdapat manusia yang dijangkiti.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai perlu mengelak daripada memakan kelelawar,” kata Harold Thomas, jurucakap Kementerian Kesihatan kepada AFP.

Wabak Ebola terburuk bermula pada Disember 2013 di selatan Guinea sebelum merebak ke dua negara jiran barat Afrika, Liberia dan Sierra Leone.

Wabak di Afrika Barat disebabkan oleh spesies Zaire, yang merupakan baling berbahaya pada manusia sejak ia pertama kali dikenalpasti pada 1976.

Wabak itu membunuh lebih 11,300 orang daripada hampir 29,000 kes yang didaftarkan, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP, 27 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen