KERAJAAN Greece pada Khamis mengatakan ia mengesyaki “tindakan jenayah” mungkin mencetuskan kebakaran yang mengakibatkan kematian sebilangan besar 82 orang yang maut dalam kebakaran hutan terburuk di negara itu minggu ini.
“Bagi kebakaran yang bermula di Gunung Pentelicus dan merebak ke rantau pantai Mati, timur Athens pada Isnin, terdapat beberapa persoalan dan saya tidak menyembunyikannya daripada anda bahawa terdapat maklumat serius membawa kepada pembukaan siasatan,” kata Timbalan Menteri Perlindungan Rakyat Nikos Toskas pada sidang berita.
Beliau berkata terdapat juga “elemen dan jejak yang serius” bahawa kebaran lain, yang berlaku beberapa jam lebih awal pada Isnin berhampiran Kineta di barat ibu kota Yunani, “sengaja” dinyalakan. Tiada kematian di Kineta.
“Terdapat testimoni tetapi saya tidak boleh mengatakan apa-apa lagi,” kata Toskas pada sidang akhbar di Athens, yang turut dihadiri jurucakap kerajaan Dimitris Tzanakopoulos dan ketua bomba dan polis.
Beliau berkata kerajaan sudah menyerahkan semua bukti kepada pendakwa raya, dan ia akan menjadi sebahagian daripada penyiasatan awal yang dibuka oleh Mahkamah Agung pada Selasa.
Toskas juga menegaskan “keadaan iklim adalah melampau kerana perubahan iklim”.
Ketika kerajaan menerima kritikan hebat berikutan bencana itu, jurucakap Tzanakopoulos berkata “pemindahan penduduk Mati boleh dilakukan kerana fenomena itu hanya berlangsung sejam setengah”.
Beliau menambah angin, yang mencapai kelajuan 120 kilometer (75 batu) sejam, adalah “yang paling kuat direkodkan dalam lapan tahun yang lalu”.
Toskas berkata “kematian adalah besar dan kami semua bersedih”.
“Atas sebab moral dan bukannya kerana kesilapan, saya menyerahkan peletakan jawatan saya kepada Perdana Menteri Alelis Tsipras, tetapi beliau menjawab sudah tiba masanya untuk berjuang dan tidak menerimanya,” kata Toskas. – AFP, 27 Julai, 2018.
Komen