HERO kriket Pakistan yang kini jadi politikus, Imran Khan mendakwa telah menang dalam pilihan raya umum paling tegang negara itu pada Khamis, susulan tuduhan pembangkang pilihan raya diselubungi tindakan manipulasi undi terang-terangan.
Masih tidak ada pengumuman rasmi dikeluarkan suruhanjaya pilihan raya Pakistan hampir 24 jam selepas pengundian ditutup, tetapi pengiraan tidak rasmi jelas menunjukkan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) diterajui Imran mendahului.
“Kami telah berjaya dan kami diberikan mandat,” kata Imran, 65, menerusi lintas langsung media menambah yang “tidak ada mangsa politik” dalam pertandingan sengit itu.
Beliau menyifatkan pilihan raya itu adalah “paling telus” dalam sejarah Pakistan.
Beliau turut berjanji akan menghapuskan korupsi yang “memakan negara kita seperti barah”.
Kenyataan Imran dikeluarkan beberapa jam selepas penyokongnya membanjiri jalan raya meraikan kemenangan yang disifatkan pesaingnya sebagai hasil masuk campur tangan tentera.
Keputusan rasmi yang lambat diumumkan, bersama pengiraan awal yang memberi kelebihan kepada Khan mencetuskan spekulasi kesahan pilihan raya itu.
Media negara itu sudah meramalkan PTI akan menang sejak Rabu. Menjelang Khamis, keputusan tidak rasmi memberikan 100 kerusi di Dewan Negara, dewan rendah negara itu.
Majoriti 137 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan menolak dakwaan manipulasi sebaliknya menyalahkan kelembapan perisian sistem pengiraan undi yang baharu diguna pakai.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan bila mereka akan membuat pengumuman rasmi. Ada laporan mencadangkan keputusan hanya akan diumumkan petang Khamis. – AFP, 25 Julai, 2018.
Komen