India siasat kes rogol di rumah perlindungan kanak-kanak


Sebuah rumah perlindungan untuk kanak-kanak perempuan di daerah Muzaffarpur, kira-kira 70 kilometer di utara Patna, telah ditutup bulan lepas susulan dakwaan terdapat eksploitasi seksual terhadap penghuninya. – Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

KETUA Menteri Bihar pada Khamis telah mengesyorkan agar Biro Siasatan Pusat (CBI) menjalankan siasatan berhubung dakwaan rogol membabitkan kanak-kanak perempuan bawah umur yang menghuni pusat perlindungan kerajaan, lapor agensi berita China Xinhua.

“Kerajaan komited untuk melakukan siasatan berhubung insiden keji yang didakwa berlaku di pusat perlindungan Muzaffarpur.

“Satu inkuiri sedang dijalankan namun agak meragukan… jadi ketua menteri telah mengarahkan setiausaha kerajaan negeri, setiausaha kementerian dalam negeri dan ketua polis untuk menyerahkan kes itu kepada CBI,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Terdahulu, kerajaan menyatakan bahawa CBI tidak perlu campur tangan dalam insiden itu kerana ia “puas hati” dengan siasatan polis.

Sebuah rumah perlindungan untuk kanak-kanak perempuan di daerah Muzaffarpur, kira-kira 70 kilometer di utara Patna, telah ditutup bulan lepas susulan dakwaan terdapat eksploitasi seksual terhadap penghuninya. 

Lebih 40 kanak-kanak perempuan ditempatkan di pusat perlindungan itu.

Isu itu timbul selepas satu laporan audit sosial oleh Institut Sains Sosial Tata di Mumbai yang menyebut bahawa penghuninya sedang “dieksploitasi secara seksual.”

Menurut laporan itu, daripada 42 kanak-kanak perempuan yang dihantar untuk pemeriksaan perubatan, 29 mengesahkan telah melakukan “hubungan seksual.”

Polis telah menahan 10 orang termasuk seorang individu yang menguruskan hal ehwal rumah perlindungan itu. – Bernama, 26 Julai, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen