KETUA Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada Khamis menolak dakwaan perkauman oleh Mesut Ozil, tetapi mengakui beliau sepatutnya lebih melindungi pemain itu daripada serangan diskriminasi.
Dalam kenyataan empat muka surat mengumumkan keputusan tidak lagi bermain untuk Jerman pada Ahad, Ozil mengecam Ketua DFB Reinhard Grindel.
“Di mata Grindel dan penyokongnya, saya Jerman bila kita menang tetapi hanyalah pendatang bila kita kalah,” kata Ozil yang berketurunan Turki pada Ahad yang kenyataan panjang yang mencetuskan perdebatan hangat tentang isu perkauman di Jerman.
Tetapi Grindel menolak dakwaan itu empat hari kemudian dan berkata beliau tidak pernah menggesa Ozil berundur.
“Saya dengan terbuka boleh kata yang kritikan peribadi itu memberi kesan kepada saya,” katanya.
“Saya juga lebih simpati kepada rakan sekerja dan ramai lagi orang yang bekerja secara sukarela dan pekerja DFB yang dikaitkan dengan isu perkauman.
“Bagi persekutuan ini dan saya secara peribadi, saya menolak tuduhan ini.”
Tetapi Grindel mengakui yang beliau sepatutnya bertindak lebih tegas menamatkan tuduhan kepada Ozil yang mempersoalkan kesetiaannya kepada Jerman selepas pecah skandal Ozil bergambar dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Dalam kecaman Ozil kepada Grindel, bintang Arsenal itu berkata beliau cuba menjelaskan soal keturunannya, warisan dan sebab berjumpa Erdogan kepada ketua DFB.
Tetapi Grindel “lebih berminat bercakap tentang pandangan politiknya sendiri dan memperlekeh pandangan saya”, kata Ozil.
Pemain bola sepak itu bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas mewakili Jerman sebanyak 92 kali, menjaringkan 23 gol dan membantu pasukan negara itu menang Piala Dunia 2014. – AFP, 25 Julai, 2018.
Komen