Rumah Putih larang wartawan CNN sertai sidang akhbar 


Larangan itu menerima kecaman dari Persatuan Wartawan Rumah Putih dan mengeluarkan kenyataan menyatakan "keputusan itu adalah salah dan tidak tepat". – Gambar EPA, 26 Julai, 2018.

RUMAH Putih pada Rabu melarang seorang wartawan CNN menyertai satu sidang akhbar, selepas wartawan berkenaan dikatakan mengajukan soalan “tidak sesuai” ketika dalam taklimat media, lapor agensi berita Xinhua.

Wartawan, Kaitlan Collins mengajukan beberapa soalan mengenai Russia dan bekas peguam Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Michael Cohen sejurus sebelum Trump bermesyuarat dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker di Pejabat Oval.

Menerusi rakaman video yang mungkin dirakam Collins berkaitan kejadian terbabit, pemberita itu kedengaran berulang kali menjerit sambil mengajukan soalan kepada Trump.

Antara soalan diajukan Collins termasuk: “Adakah Michael Cohen mengkhianati anda, Encik Presiden?” “Presiden, adakah anda bimbang tentang apa yang akan dikatakan oleh Michael Cohen kepada pendakwa raya?”. “Kenapa Vladimir Putin tidak menerima jemputan anda, Encik Presiden?”

Trump dengan muka masam, langsung tidak mengendahkan soalan yang diajukan.

Menurut Collins, beliau kemudian dipanggil ke pejabat timbalan ketua turus kakitangan Rumah Putih yang turut dihadiri ketua setiausaha Sarah Sanders. 

Beliau dimaklumkan bahawa soalan diajukannya “tidak sesuai” dan tidak dibenar menghadiri sidang akhbar yang akan diadakan kemudian antara Trump dan Juncker di Rose Garden.

Dalam pembelaannya, Collins berkata adalah perkara biasa bagi wartawan untuk mengajukan soalan pada taklimat sedemikian.

Larangan itu menerima kecaman dari Persatuan Wartawan Rumah Putih dan mengeluarkan kenyataan menyatakan “keputusan itu adalah salah dan tidak tepat”. 

Rumah Putih mempunyai hubungan yang rapat dengan CNN, yang selama ini memang sering mengkritik terhadap banyak dasar Trump.

Trump juga pernah menggelarkan CNN sebagai “berita tidak benar”, dan mencipta gelaran yang menghina wartawan. – Bernama, 26 Julai, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen