Musim panas kian hangat, permintaan daging anjing meningkat


Daging anjing merupakan makanan kegemaran semasa musim panas di Korea Utara dan juga Korea Selatan.– Gambar Youtube, 26 Julai, 2018

PERMINTAAN untuk daging anjing dilaporkan semakin meningkat di Korea Utara yang kini mengalami peningkatan suhu luar biasa.

Daging dipanggil “dangogi” atau daging anjing manis itu merupakan makanan kegemaran semasa musim panas di Korea Utara dan juga Korea Selatan.

Selain itu, hidangan sup daging anjing berempah juga menjadi permintaan besar di restoran di negara berkenaan, lapor Associated Press (AP).

Agensi tersebut mengunjungi sebuah restoran di Pyongyang dan menemubual seorang yang mendedahkan, daging anjing dimakan oleh masyarakatnya sejak sekian lama.

“Ia merupakan makanan kebangsaan sejak lama dahulu,” kata Kim Ae Kyong, seorang petugas di Pyongyang House of Sweet Meat.

Ia merupakan restoran paling besar yang menyajikan hidangan daging anjing di ibu negara Korea Utara itu.

Permintaan itu dilaporkan paling tinggi pada tiga hari khusus – 17 dan 27 Julai serta 17 Ogos, yang bakal merekodkan suhu paling tinggi pada tahun ini di negara terbabit.

Suhu di beberapa negara di bahagian utara benua Asia, termasuk Jepun dan China kini mencatat sehingga 40 darjah Celcius

“Orang percaya bahawa haba panas memulihkan kepanasan, jadi mereka makan daging ajing dan sup anjing berempah pada hari paling panas.

“Ia merupakan daging yang lebih menyihatkan berbanding daging jenis lain,” kata pelayan tersebut.

Restoran berkenaan dilaporkan menyediakan pelbagai jenis juadah daripada daging anjing, termasuk dari tulang rusuk, kaki dan juga kulit yang direbus.

Di Korea Utara, dianggarkan sejumlah dua juta anjing disembelih dan dijadikan sajian setiap tahun, lapor AP.

Permintaan untuk hidangan daging berkenaan dilaporkan semakin menurun disebabkan golongan muda menolak amalan memakan anjing.

Namun haiwan berkenaan tetap dibela untuk dijadikan sebagai makanan di Korea Utara dan Korea Selatan. – 26 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen