IRAN menempelak hasrat Amerika Syarikat (AS) yang kononnya ingin berbincang, tetapi pada masa sama mahu mengenakan sekatan ke atas negara itu, kata Kementerian Luar Iran pada Rabu.
“Iran tidak sekali-kali akan menerima permintaan rundingan sehala yang didasarkan tuntutan melampau. Iran tidak teragak-agak untuk mempertahankan hak rakyat, kedaulatan wilayahnya atau kemerdekaannya,” kata jurucakap kementerian Bahram Qasemi, memetik agensi berita rasmi IRNA.
Pada Isnin Presiden AS Donald Trump membayangkan kesediaannya untuk berunding mencari penyelesaian baharu berhubung isu nuklear dengan Iran, ketika Tehran berdepan ancaman bakal dikenakan kembali sekatan minyak dan emas.
Sebelum itu, pemimpin agung Iran Ayatollah Ali Khamenei pada Sabtu mengatakan apa sahaja rundingan dengan AS untuk menyelesaikan masalah merupakan satu “kesilapan yang ketara”.
Bagaimanapun, Khamenei menegaskan rundingan dengan Eropah sepatutnya harus terus menjamin kepentingan Iran daripada perjanjian nuklear 2015 berikutan pengunduran AS sejak 8 Mei lalu. – Bernama, 26 Julai, 2018.
Komen