Turki tahan rakyat Jerman buat propaganda untuk Kurdish


Lelaki warga Jerman itu didakwa menyebarkan propaganda untuk Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang memberontak menentang Turki sejak 1984. – Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

PIHAK berkuasa Turki menahan seorang warga Jerman kerana membuat propaganda keganasan mengenai pemberontak Kurdish yang ditahan, lapor media tempatan pada Rabu.

Lelaki itu ditahan pada Rabu oleh polis di Hatay dan didakwa pada hari sama, lapor agensi berita DHA.

Tiada butiran diberikan agensi mengenai lelaki itu kecuali menamakannya sebagai Dennis E.

Beliau dituduh menyebarkan propaganda keganasan menerusi media sosial untuk Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang memberontak menentang Turki sejak 1984.

PKK disenarai hitamkan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan sekutu Baratnya.

Ketegangan diplomatik antara Ankara dan Berlin berlaku susulan operasi menggempur penentang kerajaan selepas kegagalan cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016 dan darurat yang diumumkan menyebabkan beberapa rakyat Jerman dipenjarakan. Darurat dua tahun itu berakhir minggu lepas.

Tetapi ketegangan itu diredakan selepas beberapa rakyat Jerman termasuklah wartawan Jerman-Turki Deniz Yucel dibebaskan awal tahun ini.

Minggu lepas, Jerman membatalkan sekatan ekonomi ke atas Turki dan membatalkan amaran perjalanan untuk rakyatnya melawat Turki. – AFP, 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen