Jepun sasar ambil 10,000 pengasuh Vietnam menjelang 2020 


Jepun memerlukan sejumlah 550,000 pengasuh pada tahun 2025 susulan peningkatan pesat populasi warga emas di negara itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2018.

JEPUN merancang untuk mengambil sejumlah 10,000 pengasuh dari Vietnam menjelang tahun 2020 bagi menangani kekurangan tenaga kerja yang kronik dalam sektor kejururawatan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik laporan Kyodo News.

Pada mulanya, Jepun berhasrat mengambil sejumlah 3,000 pengasuh dari Vietnam dalam tempoh setahun menerusi program latihan sedia ada untuk warga asing, kata seorang pegawai kerajaan.

Vietnam dan Jepun dijangka menandatangani satu perjanjian rasmi tidak lama lagi.

Kedua-dua negara telah mengadakan rundingan berhubung kerjasama dua hala dalam bidang penjagaan kejururawatan. 

Pada Jun, kedua-dua pihak telah bersetuju melaksanakan satu sistem bagi membolehkan lebih ramai pengasuh Vietnam bekerja di Jepun.

Jepun sedang menimbang untuk mengambil pengasuh dari negara lain, termasuk Indonesia dan Kemboja.

Kementerian Buruh menganggarkan bahawa Jepun memerlukan sejumlah 550,000 pengasuh pada tahun 2025 susulan peningkatan pesat populasi warga emas di negara itu.

Dalam usaha untuk menerima lebih ramai pekerja asing dalam sektor kejururawatan, Jepun telah menggubal satu undang-undang baharu pada November 2017 bagi menambah penjagaan kejururawatan ke dalam senarai bidang di mana warga asing boleh bekerja di bawah program latihan.

Program latihan untuk warga asing telah diperkenal pada 1993, yang bertujuan untuk memindahkan kemahiran ke negara membangun dengan melatih pekerja yang akan pulang ke negara asal. – Bernama, 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen