Letupan berlaku di luar Kedutaan AS di China, lelaki ditahan


Polis China berkata tiada kecederaan lain dilaporkan dalam kejadian itu, yang berlaku berhampiran kawasan pemohon visa beratur untuk memasuki kedutaan bagi proses temubual. – Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

SEORANG lelaki warga China berusia 26 tahun meletupkan bahan letupan kecil di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Beijing pada Khamis, menyebabkan asap tebal dan mencederakan tangannya sebelum pegawai keselamatan bergegas ke tempat kejadian dan menahannya, kata polis.

Polis China berkata tiada kecederaan lain dilaporkan dalam kejadian itu, yang berlaku berhampiran kawasan pemohon visa beratur untuk memasuki kedutaan bagi proses temubual.

Letupan itu dilakukan oleh seorang lelaki berasal dari pendalaman Mongolia, China dengan nama keluarga Jiang, kata polis, menambah yang kecederaan lelaki itu tidak mengancam nyawa. Polis tidak memberikan motif tindakan.

Rakaman video yang tular di media sosial selepas letupan itu berlaku menunjukkan asap di luar kedutaan, wartawan AFP yang tiba di tempat kejadian mendapati kawasan dikawal ketat polis.

Polis serta merta menutup kawasan tempat berlakunya letupan dan pihak berkuasa China sudah menyekat video letupan dalam platform sosial terkenal negara itu, Weibo.

Wartawan AFP berkata pejabat visa yang berhampiran kawasan letupan menyambung kembali operasinya tidak lama selepas kejadian.

Kawasan kejadian berlaku di pinggir Beijing dan menempatkan beberapa kedutaan termasuklah India dan Israel.

Kes individu tidak berpuas hati dengan masyarakat dan bertindak ganas seringkali berlaku di China.

Dalam salah satu kes terburuk, sebuah bom meletup membunuh lapan orang dan mencederakan berpuluh yang lain di luar sebuah tadika di timur China pada Jun tahun lepas.

Polis menyalahkan tragedi itu kepada seorang lelaki berusia 22 tahun yang mempunyai masalah kesihatan. – AFP, 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen