PBB sedia sokong usaha Greece tangani kebakaran hutan


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kesediaannya, untuk menyokong usaha kerajaan Greece menanggani bencana kebakaran hutan, yang kini meragut hampir 80 nyawa.– Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kesediaannya, untuk menyokong usaha kerajaan Greece menanggani bencana kebakaran hutan, yang kini meragut hampir 80 nyawa, lapor agensi berita Xinhua.

Melalui jurucakapnya Stephane Dujarric, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres juga memuji langkah yang telah diambil pihak berkuasa Yunani, yang mana bencana itu turut menarik perhatian Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan. 

“Saya mengucapkan takziah kepada saudara-mara mangsa dan kerajaan Greece,” kata Guterres.

Kebakaran bermula pada petang Isnin itu memusnahkan Gunung Penteli di semenanjung Attica, Greece, sebuah kawasan peranginan tepi pantai dan memaksa ribuan orang lari menyelamatkan diri.

Setakat Rabu, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 187 yang lain cedera dalam kebakaran disifatkan paling dahsyat di Greece dalam tempoh sedekad.

Susulan itu Greece telah mengisytiharkan hari berkabung negara mulai Selasa.– Bernama, 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen