Doktor serangan seksual pasukan gimnastik AS dakwa dipukul di penjara


Dr Larry Nassar yang disabitkan melakukan salah laku seksual terhadap ratusan atlit wanita dan remaja perempuan di Amerika Syarikat mendakwa beliau diserang di penjara persekutuan. – Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

BEKAS doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar yang disabitkan melakukan salah laku seksual terhadap ratusan atlit wanita dan remaja perempuan mendakwa beliau diserang di penjara persekutuan serta dihukum secara berat sebelah oleh hakim.

Nassar, 54, dihukum penjara seumur hidup selepas disabitkan bersalah tiga pertudhan serangan seksual dan pornografi kanak-kanak.

Dalam tuntutannya di mahkamah negeri Michigan, beliau memohon perbicaraan untuk hukuman baru dengan mendakwa keputusan sebelum ini dijatuhkan oleh hakim yang tidak adil.

Doktor itu mengaku bersalah melakukan serangan seksual ke atas atlit sejak berpuluh tahun lalu, termasuk juara Gimnastik AS dan Olimpik, atas alasan rawatan perubatan.

Peguam bela Nassar mengkritik Hakim Rosemarie Aquilina yang menjatuhkan hukuman berkenaan pada Januari lalu selepas mendengar keterangan penuh emosi daripada 160 mangsa.

Aquilina menjadi perhatian apabila memberikan ulasan jujur dan pedas semasa perbicaraan, selain kata-kata berunsur pujukan ke atas setiap saksi yang memberi keterangan.

“Usaha hakim untuk memalukan Dr Nassar di seluruh dunia berjaya dan doktor itu menjadi mangsa serangan di dalam mahkamah di Eaton County dan penjara persekutuan,” kata peguam Nassar dalam penyata tuntutan.

Perbicaraan di Eaton County berlaku selepas hukuman dijatuhkan oleh hakim dan Nassar hampir dipukul oleh bapa seorang daripada mangsa namun berjaya diselamatkan polis bertugas. – AFP, 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen