Penyanyi Linkin Park, Chester Bennington ditemui mati


Chester Bennington ditemui mati tergantung di kediamannya yang dipercayai kerana membunuh diri. – Gambar EPA, 21 Julai, 2017.

VOKALIS Linkin Park, Chester Bennington, yang berjaya keluar daripada zaman sukar semasa kanak-kanak kepada mengungguli carta dengan genre “heavy metal”, ditemui mati tergantung yang dipercaya membunuh diri pada usia 41 tahun.

“Terkejut dan sangat sedih, tetapi memang benar,” kata gitaris dan komposer utama kumpulan itu, Mike Shinoda di Twitter.

Pejabat koroner Los Angeles berkata ia menerima panggilan sejurus selepas Bennington ditemui tergantung di kediaman mewahnya di Palos Verdes pada jam 9 pagi.

“Ia diuruskan dengan kemungkinan bunuh diri,” kata Brian Elias, ketua operasi di pejabat koroner itu.

Bennington, yang pernah berkahwin dua kali dan mempunyai enam anak, bergelut sepanjang hidupnya dengan ketagihan dan imej diri yang buruk.

Dilahirkan dan dibesarkan di Arizona, Bennington berkata seorang rakan keluarga menderanya sejak berumur tujuh tahun.

“Saya dipukul dan dipaksa melakukan perkara yang saya tidak mahu lakukan. Ia memusnahkan keyakinan diri saya,” katanya kepada laman sesawang muzik British Team Rock pada 2014.

“Seperti kebanyakan orang, saya terlalu takut untuk bercakap apa-apa. Saya tidak mahu orang fikir saya gay atau berbohong,” katanya.

Ibu bapa Bennington bercerai beberapa tahun kemudian dan, semasa masih kecil, beliau kepada alkohol dan dadah.

Beliau mengalihkan kemarahannya kepada muzik dengan suara penuh geram dalam genre “heavy metal”.

Bagaimanapun, Linkin Park kemudiannya menjadi pelopor bagi kebangkitan gelombang muzik “nu metal” yang menggabungkan pop dan hip hop, berselang seli dengan rap oleh Shinoda dengan nyanyian Bennington. – AFP, 21 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen