PARTI penyandang kerajaan Pakistan menolak keputusan awal pilihan raya yang menunjukkan bekas wira kriket negara itu, Imran Khan bakal menjadi perdana menteri.
Pemimpin parti Muslim League-Nawaz (PML-N), Shahbaz Sharif menolak keputusan pilihan raya di seluruh negara itu kerana proses pengiraan masih berjalan.
“Hari ini apa yang mereka lakukan telah menjadikan Pakistan seperti 30 tahun lalu. Kami menolak keputusan itu,” kata Sharif yang juga adik kepada bekas perdana menteri Nawaz Sharif yang kini dipenjarakan.
Pilihan raya itu tercemar dengan tuduhan campur tangan oleh pasukan tentera yang berpihak kepada Khan, di mana ia dikatakan sebagai “pilihan raya paling kotor” Pakistan.
Pekerja pilihan raya menyusun longgokan kertas undi, dan parti utama lain termasuk Parti Rakyat Pakistan (PPP) turut mendakwa proses mengira itu dimanipulasi.
“Calon saya mengadu yang ejen mengundi diarah keluar dari stesen mengundi di seluruh negara,” kata pemimpin PPP, Bilawal Bhutto Zardari menerusi Twitter.
Dalam pesanan WhatsApp, PML-N juga mendakwa pasukan tentera mengambil alih pusat mengundi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Babar Yaqoob menafikan dakwaan bahawa pengiraan undi dimanipulasi.
Stesen televisyen negara melaporkan tengah malam tadi, hanya satu perlima daripada undi yang sudah dikira setakat ini – proses yang lebih lambat daripada biasa menyebabkan kecurigaan berlaku penipuan semakin meluas.
Penyokong PTI sudah pun meraikan kemenangan di beberapa bandar di seluruh negara termasuk including Lahore, Islamabad, Multan, Karachi dan Rawalpindi, dengan letusan bunga api, tarian dan tembakan meriam kemenangan.
“Imran jujur orangnya. Dia pemimpin yang cool,” kata Ammar Haider, 20, yang mengundi buat kali pertama. – AFP, 26 Julai, 2018.
Komen