Mattel, syarikat pengeluar Barbie berhentikan 2,200 pekerja


Mattel, pembuat Barbie, Hot Wheels dan permainan lain memberhentikan 22% daripada kakitangan bukan pembuatan di seluruh dunia, susulan mengalami kerugian teruk. – Gambar AFP, 26 Julai, 2018.

SYARIKAT pembuat mainan terkenan Amerika Syarikat (AS), Mattel semalam mengumumkan akan memberhentikan 2,200 pekerja selepas mencatatkan satu lagi kerugian besar pada suku kedua.

Mattel, pembuat anak patung terkenal Barbie, mainan kereta kecil Hot Wheels dan permainan lain, berkata pemberhentian kerja itu membabitkan 22% daripada kakitangan bukan pembuatan di seluruh dunia.

Mattel mempunyai 35,000 pekerja pada hujung 2017.

Syarikat itu juga bercadang menjual tapak pengilangannya di Mexico.

“Mattel sebuah syarikat yang berpotensi besar. Kami lihat banyak peluang, tetapi terdapat jurang besar antara pencapaian kewangan sepanjang beberapa tahun lalu dan di mana syarikat ini sepatutnya berada,” kata CEO Ynon Kreiz.

“Dengan itu, kami sedang melakukan pemulihan.”

Mattel mencatatkan kerugian AS$240.9 juta pada suku kedua, lebih besar berbanding AS$56.1 juta dalam tempoh setahun lalu.

Pendapatan jatuh 13.7% kepada AS$840.7 juta.

Jenama keluaran Mattel mempunyai pencapaian berbeza dalam suku kedua, dengan Barbie dan Hot Wheels mencatatkan jualan tertinggi, tetapi pendapatan untuk American Girl dan Fisher Price/Thomas & Friends jatuh.

Saham jatuh 9.2% kepada AS$14.80 selepas beberapa jam diniagakan. – AFP, 26 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen