Unicef beri amaran jutaan kanak-kanak Yaman berisiko ketiadaan air


Serangan berterusan ke atas sistem air di Yaman akan menjejaskan bekalan air kepada kanak-kanak dan keluarga mereka sekali gus meningkatkan kemungkinan penyakit bawaan air merebak di negara yang terjejas akibat peperangan, kata Unicef. – Gambar EPA, 25 Julai, 2018.

TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada Rabu memberi amaran berhubung serangan ke atas sistem air di Yaman, lapor agensi berita Itali ANSAmed.

“Sebuah fasiliti air yang besar di Sa’ada, yang terletak di barat laut negara itu telah diserang minggu ini. Ini adalah serangan ketiga seumpamanya ke atas fasiliti yang sama. Lebih separuh daripada projek itu kini musnah dan menjejaskan bekalan air minuman yang bersih dan selamat kepada sejumlah 10,500 orang,” kata Unicef dalam satu kenyataan.

Organisasi itu berkata ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang bakal dilancarkan ke atas sistem air yang penting dan boleh menyelamatkan nyawa di Yaman.

“Serangan berterusan ke atas sistem air di Yaman akan menjejaskan bekalan air kepada kanak-kanak dan keluarga mereka sekali gus meningkatkan kemungkinan penyakit bawaan air merebak di negara yang terjejas akibat peperangan,” katanya.

Ia berkata konflik itu telah menjejaskan sistem air dan sanitasi di Yaman dengan teruk menyebabkan sejumlah 8.6 juta kanak-kanak tidak mempunyai akses kepada air minuman dan meletakkan mereka dalam keadaan berisiko dijangkiti penyakit termasuk kolera dan cirit-birit akut. – Bernama, 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen