MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague telah menetapkan Selasa untuk menyiasat aduan Iran terhadap Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Iran telah memfailkan tuntutan di ICJ terhadap tindakan AS mengenakan semula sekatan unilateral ke atas negara itu selepas Washington menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran yang dikenali secara rasmi sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 8 Mei.
Presiden ICJ, Hakim Abdulqawi Ahmed Yusuf, telah menghantar sepucuk surat rasmi berdasarkan Perkara 74, perenggan 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah kepada Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, meminta beliau mengelak daripada mengambil sebarang langkah baharu dan tidak mengubah syarat-syarat sedia ada.
Ketua Pusat Presiden bagi Hal Ehwal Perundangan Antarabangsa Iran, Mohsen Mohebbi, berkata surat ICJ telah menggesa para pegawai AS untuk menangani isu pengenaan semula sekatan anti-Iran kerana ICJ akan memutuskan perkara itu pada 27 Ogos.
Iran telah membuat aduan bahawa langkah Washington mengenakan semula sekatan terhadap Tehran adalah bercanggah dengan komitmen antarabangsa AS berdasarkan satu perjanjian pada 1955 antara Iran dan AS yang berkuat kuasa pada 1957, kata Mohebbi.
Menurut perjanjian 1955, AS komited untuk berlaku adil kepada rakyat Iran dan tidak akan meletak halangan ke atas hubungan kewangan, kata Mohebbi.
Dalam tuntutannya, Tehran telah meminta ICJ mendengar kes tersebut dalam satu sesi dan sebelum itu, melarang AS daripada mengenakan semula sekatan unilateral yang bakal mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan, rawatan, perubatan dan keselamatan penerbangan di Iran.
Perkara 74, perenggan 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah menarik “perhatian kedua-dua pihak kepada keperluan untuk bertindak sedemikian rupa bagi membolehkan mana-mana Perintah Mahkamah yang akan dibuat atas permintaan bagi langkah-langkah sementara untuk ia mempunyai kesan yang sesuai.”– Bernama, 25 Julai, 2018.
Komen