Kuwait usir diplomat Iran kerana terlibat dengan pengganas


15 diplomat Iran diusir dari Kuwait selepas didapati bersalah terlibat dengan kumpulan pengganas dan merancang serangan di Kuwait. – Gambar AFP, 20 Julai, 2017.

KUWAIT mengarahkan pengusiran 15 diplomat Iran selepas mahkamah tinggi negara itu menyabitkan kesalahan “jaringan keganasan” berkaitan dengan republik Islam itu terhadap mereka, kata satu sumber kerajaan kepada AFP.

Kuwait juga mengarahkan penutupan misi “ketenteraan, kebudayaan dan perdagangan” Iran, kata pegawai kerajaan itu.

Mahkamah agung negara itu bulan lepas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada perancang utama dan meyabitkan kesalahan kepada 20 yang lain atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Iran dan kumpulan Hezbollah di Lebanon dan merancang serangan pengganas di Kuwait.

Menteri Hal Ehwal Kabinet, Sheikh Mohammad Abdullah Al-Sabah mengesahkan Kuwait sudah mengambil tindakan diplomatik ke atas Iran tetapi enggan menjelaskan secara terperinci.

Hukuman itu dijatuhkan ketika Kuwait cuba menjadi orang tengah untuk menghentikan krisis diplomatik terburuk rantau Teluk, selepas Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar kerana dakwaan mempunyai hubungan rapat dengan Iran dan membiayai pengganas.

Akhbar Kuwait, Al-Seyassah melaporkan Isnin lalu yang 14 daripada 26 anggota kumpulan itu sudah melarikan diri ke Iran melalui jalan laut.

Mahkamah rendah menyabitkan kesalahan terhadap mereka tahun lepas tetapi dibebaskan selepas rayuan.

Mahkamah agung yang penghakimannya muktamad membatalkan hukuman tidak bersalah pada 18 Jun dan menjatuhkan hukuman penjara antara lima sehingga 15 tahun.

Pihak berkuasa Kuwait menyerbu kumpulan pengganas itu pada Ogos 2015 dan merampas senjata api dan bahan letupan.

Mahkamah Kuwait menyabitkan mereka kerana bekerja dengan Pengawal Revolusi Iran dan kumpulan Hezbollah. Mereka juga didapati bersalah kerana menyeludup bahan letupan dari Iran. – AFP, 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen