SEKURANG-kurangnya 22 orang terbunuh sementara lebih 20 lagi cedera dalam serangan bunuh diri, berhampiran pusat pengundian di bandaraya barat daya Quetta, Pakistan pada Rabu.
Ketua polis bandaraya itu berkata, seorang pengebom bunuh diri yang menunggang motosikal menyerang sebuah kenderaan polis, sebelum meletupkan dirinya berhampiran pusat pengundian di timur Quetta, di barat daya negara Balochistan, lapor agensi berita Xinhua
Sementara itu, sumber hospital mengatakan angka kematian mungkin bertambah memandangkan ramai mangsa yang cedera dilaporkan kritikal.
Lebih 180 orang, termasuk tiga calon pilihan raya, maut dan 200 lagi cedera dalam pelbagai insiden serangan keganasan sepanjang tempoh sebulan berkempen.
Rakyat Pakistan mula mengundi bagi pilihan raya umum pada Rabu yang menyaksikan 3,459 calon bertanding untuk 272 kerusi Perhimpunan Nasional dan seramai 8,396 calon lagi bagi 577 kerusi di empat dewan wilayah, termasuk Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, Balochistan dan Sindh.
Pilihan raya di dua kerusi Dewan Undangan Nasional dan enam kerusi dewan daerah ditangguhkan kerana beberapa sebab, termasuk kematian beberapa calon.– Bernama, 25 Julai, 2018.
Komen