Hanya nama Zahid dicadang untuk pengerusi PAC


Ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi sedang dipertimbang untuk diangkat sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

SETAKAT hari ini, hanya nama Ketua Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang dipertimbangkan bagi jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong yang mengesahkan perkara itu berkata buat masa ini keputusan itu adalah di tangan Ahmad Zahid sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau tidak. 

“Kita telah menerima cadangan daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan perkara ini juga merupakan janji daripada Pakatan Harapan (dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14).  

“Jadi kena tanyalah sama ada dia (Ahmad Zahid) nak jadi ketua (Pengerusi) PAC atau tidak. Kalau dia tidak mahu sia-sia sahaja (merugikan pembangkang),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. 

Liew berkata pelantikan pengerusi PAC itu akan diselesaikan dalam persidangan Dewan Rakyat sesi ini.  

Semalam, Nga dilaporkan berkata bahawa jawatan itu akan dipegang ahli Parlimen pembangkang dan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membincangkan perkara itu dalam pertemuan mingguan mereka dengan Liew esok.

“Tetapi jika perkara ini berterusan satu tindakan akan dilakukan dan kerajaan akan bincangkan di mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya. 

Semalam, persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguh seketika kerana tidak cukup korum.

Perkara itu turut mendapat perhatian bekas menteri Kabinet Rais Yatim melalui status Twitternya yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah melalui potongan elaun bulanan ahli Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan.– Bernama, 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen