Dakwaan ke atas Ratu Naga digugurkan


Peguam Negara Tommy Thomas mengarahkan pendakwa raya supaya mengugurkan kes jenayah terhadap blogger Syarul Ema Abu Samah, yang dikenali sebagai Ratu Naga, kerana didakwa menghina bekas perdana menteri Najib Razak di akaun sosial miliknya, tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

PEGUAM Negara Tommy Thomas mengarahkan pendakwa raya supaya mengugurkan kes jenayah terhadap blogger Syarul Ema Abu Samah, yang dikenali sebagai Ratu Naga, kerana didakwa menghina bekas perdana menteri Najib Razak di akaun sosial miliknya, tahun lalu.

Pendakwa raya hari dimaklumkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang yang Thomas sudah menerima surat perwakilan oleh Ratu Naga yang dihantar pada 20 Jun, dan dakwaan terhadapnya ditarik balik.

Peguam negara membuat keputusan tersebut selepas “menimbang fakta dan testimoni berkaitan kes tersebut”, menurut sepucuk surat kepada peguam defenden yang dilihat The Malaysian Insight. Surat tersebut dihantar oleh Ketua Bahagian Pejabat Peguam Negara Othman Yusof.

Mahkamah hari ini melepaskan Syarul Ema, 37, yang merupakan juruperunding binaan.

Syarul Ema didakwa pada 18 Februari 2016, mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menghantar komen yang jelik dan menghina Najib Razak berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bertujuan menyakitkan hati pihak lain.

Perkara itu ditetapkan untuk perbicaraan sejak beberapa tahun namun ditangguhkan susulan Syarul Ema memfailkan rayuan untuk merujuk Seksyen 233, yang didakwa mencabuli hak kebebasan bersuara beliau yang dijamin mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Syarul Ema diwakili peguam Zaid Malek hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Awam Nazrul Nizam mewakili pihak pendakwa raya sementara hakim Saifulakmal Mohd Said mempengerusikan kes itu.– 25 Julai, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen