Sarawak - Indonesia bakal runding tangani wabak rabies


Desmond Davidson

Peta yang menunjukkan kawasan dijangkiti wabak rabies di Sarawak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Desmond Davidson, 20 Julai, 2017.

SARAWAK akan mengadakan perbincangan dengan Indonesia mengenai bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk menghalang haiwan yang dijangkiti rabies di Kalimantan Barat khususnya anjing daripada melintasi sempadan ke selatan Sarawak.

Ini berikutan pihak berkuasa kesihatan di Sarawak sedang bergelut untuk mengawal penyebaran wabak yang meragut nyawa empat kanak-kanak.

Penyakit rabies, yang pertama kali dikesan pada Mei di Kampung Paun Rimu Bakung di Serian, kini berada dalam jarak 11km dari bandaraya Kuching selepas seekor anjing liar dijangkiti wabak itu dikesan di penempatan semula di Siburan.

Ketua Menteri Abang Johari Openg mendedahkan delegasi Sarawak yang diketuai bersama oleh Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Prof Dr Sim Kui Hian akan bertemu dengan Konsulat Indonesia di Kuching, Jahar Gultom esok di Kuching untuk “ceramah penerokaan”.

Abang Johari hadir di balai masyarakat Kota Padawan, 16km dari Kuching di mana beliau menyaksikan acara pemvaksinan anjing secara besar-besaran petang tadi.

Beliau turut berkata Sarawak mencadangkan semua anjing dan kucing di kedua-dua belah sempadan akan diberikan vaksin terhadap rabies dan pergerakan mereka juga akan dihadkan.

Abang Johari berkata, sejak bandar Lachau yang merupakan perhentian popular di kalangan pelancong di sepanjang jalan Kuching - Sri Aman dan terletak hanya beberapa minit berjalan kaki ke sempadan diisytiharkan sebagai kawasan yang dijangkiti rabies semalam, semua bandar, kampung dan kawasan penempatan kini terdedah kepada penyakit ini.

Sehingga kini, empat buah kampung yang berdekatan atau sepanjang sempadan Sarawak - Kalimantan - Kpg Temong Mura di Tebedu, Kpg Paon Rimu Bakung di Serian, Lachau dan Rumah Janta Punggu Mawang juga di Sri Aman - diisytiharkan penempatan yang dijangkiti rabies.

Lachau diisytiharkan sebagai kawasan yang dijangkiti selepas seorang lelaki dari Sri Aman digigit seekor anjing dijangkiti rabies ketika dia sedang berehat di sana.

Abang Johari berkata, setakat ini kerajaan pusat membelanjakan RM2.4 juta untuk membeli vaksin anti-rabies manakala kerajaan negeri menyumbang setengah juta ringgit dalam membeli vaksin, baju pelindung dan peralatan lain untuk pekerja di barisan hadapan.

Kalimantan Barat juga bertungkus-lumus dalam mengendalikan peningkatan kes rabies dengan 11 wilayah kini dilaporkan dijangkiti.

Jabatan Makanan, Penternakan dan Haiwan di Kalimantan Barat berkata, penyakit itu tersebar sejak Mei dan kawasan yang dijangkiti termasuk Kapuas Hulu, Kubu Raya, Mempawah dan Utara Kayong.

Menurut laporan portal berita Jakarta Informer, Ketua Jabatan iaitu Abdul Manaf  mengetengahkan tiga faktor yang menyaksikan penyakit itu tersebar di seluruh Kalimantan Barat.

Pertama, kata Manaf, musim mengawan anjing menyebabkan lebih banyak peluang kepada sentuhan dan penyebaran penyakit itu.

Kedua, semasa musim panas dan kering, anjing liar bergerak ke bandar dan kampung untuk mencari makanan dan akhirnya, peniaga anjing sering tidak menyedari status kesihatan haiwan itu kemudian memindahkan mereka.

Dua faktor pertama mengingatkan kepada penyebaran di Sarawak. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen