Lupakan permusuhan lalu, kata Najib kepada PAS


Melati A. Jalil

Bekas presiden Barisan Nasional Najib Razak beramah mesra dengan penduduk kampung ketika lawatan di Kampung Sungai Kandis sempena kempen pilihan raya kecil kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnor Hussain, 25 Julai, 2018.

WALAUPUN berdekad lamanya berlaku permusuhan antara Umno dan PAS, terdapat keperluan kedua-duanya melihat ke arah masa depan dalam usaha menegakkan Islam, kata Najib Razak.

Bekas presiden Umno itu berkata para penyokong PAS kini dapat melihat komitmen Umno terhadap Islam jauh lebih bersungguh-sungguh daripada Pakatan Harapan.

“Mungkin terdapat beberapa perasaan yang masih berlarutan yang tidak dapat dilupakan tetapi diharapkan rakyat menyedari apa yang penting bukan masa lalu, tetapi masa depan.

“Untuk masa depan kita mesti lakukan apa sahaja yang mampu untuk menegakkan Islam tetapi pada masa sama mengambil kira kepentingan agama dan masyarakat lain,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan di Kampung Sungai Kandis dengan calon Barisan Nasional, Lokman Noor Adam.

Beliau menjawab soalan sama ada ia menjadi tanggungjawab PAS untuk membantu BN dalam kempen pilihan raya kecil Sungai Kandis memandangkan parti Islam itu juga memperjuangkan Islam dan hak-hak Melayu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, baru-baru ini menyifatkan PAS dan Umno sebagai adik beradik, berikutan keputusan parti Islam itu untuk tidak bertanding pada PRK.

PAS meletakkan calon dalam pilihan raya umum 9 Mei tetapi kali ini memilih untuk memberi laluan kepada Umno bertanding di kerusi majoriti Melayu.

PAS bagaimanapun bersumpah tidak membantu Umno dalam PRK Sungai Kandis.

Najib berkata kehadirannya hari ini hanya untuk membantu kempen Lokman dan BN.

“Saya berada di sini untuk membantu apa yang mampu untuk memastikan calon kami berjaya dalam pilihan raya ini,” kata Najib.

Kerusi itu kosong pada 2 Julai selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR.

Merupakan kerusi Melayu sebanyak 71%, pengundi Sungai Kandis memberi margin 12,500 undi kepada PKR berbanding tiga calon lain iaitu BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia dalam PRU14.

PRK Sungai Kandis akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Lokman, Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan seorang guru agama daripada PKR, dan calon bebas Murthy Krishnasamy, pesara kakitangan awam.

Undian kerusi DUN Selangor akan diadakan pada 4 Ogos. – 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen