Perkasa rancang demo bantah UEC, isu hak kaum


Orang Melayu melihat kerajaan Pakatan Harapan lebih gemar mengusik kepentingan agama Islam dan orang Melayu serta hak bumiputera tetapi hak kaum lain langsung tidak diusik, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2018.

NGO pro-Melayu Perkasa menyeru pengikutnya menyertai satu demonstrasi hujung minggu ini untuk membantah dasar kerajaan yang didakwa meminggirkan kaum Melayu dan penganut Islam.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dilaporkan berkata Himpunan Kebangkitan Ummah itu akan bermula 9 pagi sehingga jam 2 petang di Padang Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur.

“Orang Melayu melihat kerajaan Pakatan Harapan lebih gemar mengusik kepentingan agama Islam dan orang Melayu serta hak bumiputera tetapi hak kaum lain langsung tidak diusik,” katanya seperti dipetik dalam laporan Utusan Online.

Sementara itu, sebuah lagi kumpulan pro Melayu, Isma dalam blognya melaporkan, antara isu yang dibangkitkan dalam perhimpunan tersebut adalah isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Timbalan Ketua Sekretariat Penganjur Kamaruzaman Mohamad dilaporkan berkata perkara itu dibantah kerana pengiktirafan itu didakwa bercanggah dengan perlembagaan dan dasar perlembagaan negara.

“Justeru, himpunan secara aman ini isyarat kepada kerajaan bahawa umat Islam keseluruhannya tidak akan sama sekali terus membiarkan hak Islam dan Melayu terus diperkotak-katikkan. 

“Kita akan terus mempertahan sampai ke titisan terakhir,” kata Kamaruzaman seperti dipetik blog tersebut.

Ini merupakan perhimpunan kedua yang bakal berlangsung selepas kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan akan mengiktiraf UEC sebagai kelulusan memasuki universiti awam.

Hujung minggu lalu, sekumpulan 100 orang pelajar universiti berhimpun dalam demonstrasi anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) di Kuala Lumpur.

Susulan bantahan keras pelbagai pihak dan juga tuntutan daripada kumpulan pelopornya, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada 15 Julai lalu mengumumkan pengiktirafan UEC masih dalam kajian.

PH dalam manifestonya berjanji untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

BN juga memberikan janji sama untuk mengiktiraf UEC dalam manifestonya namun menambah syarat agar calon pelajar universiti awam itu juga lulus mata pelajaran Sejarah.

Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Oxford University, University of Cambridge, Australian National University, Kyoto University, California Institute of Technology, dan Peking University. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen