Wartawan Mexico mati ditembak


Ruben Pat adalah wartawan kedua daripada Playa News yang dibunuh kurang sebulan, selepas rakannya, Jose Guadalupe Chan. – Gambar Facebook, 25 Julai, 2018.

SEORANG wartawan dibunuh di tenggara Mexico, tidak jauh dari pusat tumpuan pelancong Cancun, kata kerajaan pada Selasa - menjadikan ia pembunuhan ketujuh seumpamanya tahun ini di negara ini.

“Ruben Pat, pengurus di akhbar mingguan Playa News, ditembak mati pagi ini di kawasan Playa del Carmen,” umum kerajaan negeri Quintana Roo.

Pat adalah wartawan kedua daripada Playa News, berpangkalan di Playa del Carmen yang terletak di selatan Cancun di sepanjang Laut Caribbean, dibunuh kurang sebulan, selepas rakannya, Jose Guadalupe Chan.

Pendakwa raya berkata Pat ditembak kira-kira pukul 6.00 pagi di luar bar. Pasukan kecemasan mengumumkan beliau mati ketika tiba di tempat kejadian.

Pendakwa raya berkata kejadian itu bertujuan untuk “menakut-nakutkan” wartawan lain.

Playa News menuntut jawapan daripada kerajaan negeri mengenai pembunuhan Pat di halaman Facebooknya.

Mexico adalah tempat kedua paling berbahaya di dunia untuk wartawan tahun lalu, hanya selepas Syria yang dilanda perang saudara, dengan 11 wartawan dibunuh, menurut Reporters Without Borders.

Mengikut pelbagai pertubuhan yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara, lebih 100 orang terbunuh di negara ini sejak 2000.

Majoriti penjenayah tersebut terlepas tanpa dihukum.

Kewartawanan bukan satu-satunya profesion berisiko di Mexico.

Antara September dan pilihan raya presiden pada 1 Julai, sekurang-kurangnya 145 ahli politik dibunuh.

Lima daripada lapan kota paling ganas di dunia terletak di Mexico, menurut statistik kerajaan bagi 2017.

Los Cabos di negara barat laut menduduki senarai teratas dengan 111 pembunuhan bagi setiap 100,000 warganegara. – AFP, 25 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen