TWITTER pada Selasa berkata ia sudah mengeluarkan lebih daripada 143,000 aplikasi dari perkhidmatannya sejak April dalam langkah menggempur aktiviti “berniat jahat” daripada akaun automatik.
Rangkaian sosial berpangkalan di San Francisdo itu berkata ia mengetatkan akses kepada program aplikasi bersepadunya (API) yang membenarkan pemaju melakukan pos Twitter secara automatik.
“Kami komited dalam menyediakan akses kepada platform kami untuk pemaju yang produk dan perkhidmatan mereka menjadikan Twitter lebih selamat,” kata Pengarah Kanan Pengurusan Produk Twitter Rob Johnson.
“Bagaimanapun, mengakui cabaran dihadapi Twitter dan orang awam- daripada spam sehinggalah aktiviti berniat jahat kepada pemantauan dan pelanggaran privasi- kami mengambil langkah tambahan bagi memastikan pemaju kami bekerja memberikan perkhidmatan yang menyihatkan dalam Twitter.”
Johnson tidak memberikan butiran lanjut mengenai aplikasi yang disekat, tetapi Twitter berdepan tekanan hebat kerana “bots” yang menyebarkan maklumat salah atau secara salah menyebarkan perjuangan politik atau orang tertentu.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan API kami yang mengeluarkan spam, memanipulasi perbualan atau mencabul privasi pengguna Twitter,” katanya.
Setakat Selasa, mana-mana pemaju yang mahukan akses mencipta aplikasi Twitter perlu melalui proses permohonan baharu, memberikan butiran tentang bagaimana mereka mahu menggunakan perkhidmatan itu.
Akaun automatik tidak selalunya berniat jahat- ada yang direka untuk twit amaran kecemasan, pameran seni atau tayangan terbaru Netflix- tetapi ‘bots’ dipersalahkan kerana menyebarkan berita palsu atau salah maklumat untuk mempengaruhi pandangan awam. – AFP, 25 Julai, 2018.
Komen