DUA warga Amerika yang ditangkap di Syria dan dituduh menyokong Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) sudah dipindahkan ke Amerika Syarikat.
Dua tahanan itu ditangkap Pasukan Demokratik Syria, pasukan tentera disokong AS yang menentang IS di utara dan timur Syria.
“Dua warga AS, dituduh dalam kes berasingan berkaitan pelanggaran undang-undang persekutuan sudah dipindahkan dari tahanan Pasukan Demokratik Syria ke tahanan AS dan dipindahkan ke AS di mana mereka akan didakwa di mahkamah persekutuan,” kata jurucakap Jabatan Kehakiman AS Wyn Hornbuckle pada Selasa.
Defendan Ibraheem Izzy Musaibli, 28, dari Dearborn, Michigan dijangka didakwa di mahkamah di Detroit pada Rabu atas tuduhan membantu IS daripada April 2015 sehingga Jun 2018.
“Pertuduhan itu menyatakan buat jangka masa lama, defendan Musaibli menyediakan bahan sokongan kepada ISIS, salah satu organisasi pengganas paling bahaya dalam dunia,” kata Peguam Negara AS Matthem Schneider dalam satu kenyataan.
“Kami akan mendakwa sesiapa sahaja yang memberikan atau cuba memberikan sokongan kepada pengganas.”
Tidak dapat dipastikan jika Musaibli mempunyai peguam.
Samantha Elhassani pula akan didakwa di Indiana kerana memberikan keterangan palsu kepada FBI. Beliau dijangka hadir di mahkamah untuk pendengaran awal tetapi tarikhnya belum ditetapkan.
Jabatan Kehakiman berkata Elhassani yang ditemani empat anaknya yang bawah umur, semua warganegera AS kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Kanak-Kanak Indiana.
“DCS Indiana akan membuat keputusan diperlukan berkaitan penjagaan, keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Anak lelaki Elhassani muncul dalam salah satu video IS dan suaminya adalah penembak tepat sebelum terbunuh dalam serangan drone, menurut laporan.
Komander Sean Robertson, jurucakap Pentagon berkata Jabatan Pertahanan menyediakan pesawat dan pegawai untuk menerbangkan tahanan dari Syria ke AS.
Pegawai AS sebelum ini berkata yang SDF sudah menangkap ratusan militan AS, ramai antara mereka adalah warga asing yang tidak diterima negara masing-masing. – AFP, 25 Julai, 2018.
Komen