SEMUA operasi penerbangan di lapangan terbang utama Bangladesh, Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, di ibu kota Dhaka terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam selepas sebuah pesawat Thai Airways dari Bangkok berdepan insiden “tayar meletup” petang ini, lapor agensi berita China Xinhua.
“Semua operasi digantung selama beberapa jam mulai 12.20 tengah hari (waktu tempatan) memandangkan pesawat terbabit berdepan insiden tayar meletup ketika mendarat,” menurut seorang pegawai lapangan terbang itu.
“Penerbangan TG321 Thai Airways melakukan pendaratan kecemasan di tengah-tengah cuaca buruk,” kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.
“Sekurang-kurangnya empat tayar pesawat itu meletup ketika mendarat di atas landasan.”
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden itu.
Pesawat itu, yang membawa 145 penumpang terkandas di landasan tersebut.
Rakaman TV menunjukkan penumpang pesawat itu berada dalam keadaan resah. – Bernama, 24 Julai, 2018.
Komen