MALAYSIA menahan seorang aktivis terkenal warga Bangladesh, kata kumpulan pergerakan sivil yang menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai “pencabulan” kepada pejuang hak asasi manusia.
Adilur Rahman Khan, setiausaha kumpulan hak asasi Odhikar ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini, kata aktivis.
Dia dijadualkan berucap di persidangan dua hari yang dianjurkan Anti-Dealth Penalty Asia Network.
Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkata Khan ditahan dan lokap imigresen lapangan terbang dan merayu pembebasan aktivis itu.
“Suaram mendesak pembebasan segeranya dan meminta jabatan imigresen berhenti menganggu pejuang hak asasi manusia yang melawat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak imigrisen masih tidak mengeluarkan kenyataan.
Malaysia seringkali menafikan kemasukan aktivis pro demokrasi ke dalam negara ini tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia mendesak komuniti hak asasi antarabangsa “untuk masuk campur serta merta dalam kes ini, dan mendapatkan pembebasan Khan daripada tahanan”.
Suruhanjaya itu berkata yang ia bimbang penahanan Khan, bekas timbalan peguam negara Bangladesh itu ialah “hasil pakatan kerajaan Bangladesh dan Malaysia”.
Organisasi yang dipimpin Khan kritikal dalam menentang pencabulan hak asasi manusia yang didakwa dilakukan pasukan keselamatan Bangladesh, termasuk penyiksaan dan pembunuhan tanpa bicara.
Malaysia juga menafikan hak Khan untuk mendapatkan peguam dan tidak membenarkan dia bercakap dengan sesiapa, kata kumpulan itu.
Pada 2015, aktivis pelajar Joshua Wong yang membantu menganjurkan protes Hong Kong 2014 juga dihalang masuk pihak imigresen. – AFP, 20 Julai, 2017.
Komen