KOREA Utara mula merobohkan beberapa bangunan di stesen pelancaran satelit utamanya yang dilihat sebagai tapak ujian peluru berpandu balistik antara benua, kata pakar penganalisis imej satelit terbaru.
Jika disahkan, analisis laman web berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) 38 North itu mungkin memberi isyarat ia langkah yang diambil selepas pertemuan bersejarah antara Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump di Singapura, bulan lalu walaupun sesetengah pakar mempersoalkan maksud isyarat itu.
Selepas pertemuan itu, Trump mengisytiharkan ancaman nuklear Korea Utara berakhir dan laporan media AS menyatakan, beliau secara peribadi amat berang berhubung ketiadaan sebarang kemajuan susulan berkaitan isu gencatan senjata nuklear.
Bagaimanapun Trump kekal yakin dan analisis 38 North dibuat ketika presiden AS itu mengumumkan dirinya “sangat gembira” dengan cara perkembangan rundingan bersama Pyongyang.
Laman web itu berkata, imej yang dirakam menunjukkan Pyongyang mula merobohkan dinding pemprosesan dan penyangga enjin roket ujian yang digunakan untuk menguji enjin bahan api cecair di Stesen Pelancaran Satelit Sohae.
Sohae, di pantai barat laut Korea Utara, adalah kemudahan yang direka untuk meletakkan satelit ke orbit, tetapi enjin roket digunakan semula bagi kegunaan peluru berpandu dan masyarakat antarabangsa melabel program angkasa lepas Pyongyang sebagai pemangkin kepada ujian senjatanya.
Penganalisis 38 North, Joseph Bermudez berkata tindakan itu “langkah penting pertama” buat Jong-un dalam memenuhi janji yang dikatakan Trump dibuat ketika pertemuan Jun lalu.
“Sohae dipercayai memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi untuk program peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara, maka usaha ini mewakili langkah ketara membina keyakinanbagi pihak Pyongyang,” kata Bermudez.
Trump ketika di Singapura berkata, Jong-un komited memusnahkan tapak ujian enjin peluru berpandu utamanya tanpa mengkhususkan lokasinya.
Sohae menjadi tapak pelancaran roket utama Pyongyang sejak 2012 dan Korea Selatan, di mana Presiden Moon Jae-in menjadi orang tengah pertemuan bersejarah antara Trump dan Jong-un, menggelarnya sebagai langkah ke arah gencatan senjata nuklear.
“Ia tanda lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Saya percaya, mereka melangkah secara berperingkat ke arah gencatan senjata nuklear,” kata timbalan pengarah pejabat keselamatan presiden, Nam Gwan-pyo. – AFP, 24 Julai, 2018.
Komen